Sunday, May 29, 2011

Kursus Penetasan Telor Itik Untuk PPK PITAS Sabah

PITAS, Sabah 24hb May 2011


Pitas, suatu nama yang begitu asing bagi aku suatu waktu duhulu, kini ianya telah menjadi satu-satunya destinasi yang membawa banyak kenangan kepadaku terutamanya setelah sekian lama menjalankan aktiviti perniagaan. Seusia aku, aku telah menjelajah ke 23 negara di seluruh dunia, namun Sabah tidak juga aku jejakkan kaki sehinggalah seminggu yang lepas.

Semuanya bermula dengan usaha dua hala antara Niche Strategy Marketing dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas yang diketuai oleh Pengurus Besarnya Encik Shaharun. Ianya berkaitan dengan pembelian inkubator dan mesin penetas telur pada akhir tahun lepas. Dan kemuncaknya ialah dengan terzahirnya kursus yang memang telah senonim dengan skop perniagaan Niche Strategy Marketing iaitu Kursus Penetasan Telur Itik PPK PITAS.

Pitas yang terletak kira-kira 180Km dari Bandaraya Kota Kinabalu, dihubungkan dengan sistem jalanraya yang setanding dengan mana-mana jalanraya di Malaysia. Seterusnya membuktikan bahawa memang pembangunan agak seimbang di antara Negeri-negeri di Semenanjung dan juga Sabah. Malahan, bagi sesetengah jarak, jalanraya di sana jauh lebih baik berbanding dengan jalanraya yang kerap aku lalui antara Jerangau dan Jabor. Tahniah kepada kerajaan negeri Sabah.

Sebelum aku menjejakkan kaki di Kota Kinabalu dan sebelum memulakan perjalanan ke destinasi yang dituju, Pitas; aku sering membayangkan yang hubungan jalanraya adalah sama sepertimana di antara Miri dengan Lambir di Sarawak pada era tahun 80an dulu. Aku pernah bermustautin di Sarawak pada pertengahan tahun 80an. Tekaan aku meleset, kalau benar sekali pun hanyalah jenis kenderaan pacuan empat roda. Ya, kenderaan pacuan empat roda seolah-olah kereta Proton Waja di Semenanjung, baru-baru dan berjenama mendominasi jalanraya-jalanraya. Aku pun kurang pasti kenapa kenderaan seperti ini begitu banyak sedangkan kualiti jalanraya adalah begitu baik sekali.

Kita tinggalkan dulu cerita tersebut. Tujuan sebenar celoteh kali ini ialah untuk menceriakan sedikit blog medanusahawan yang sudah sekian malap ini. Malap bukannya beerti ianya sunyi dari aktiviti pembuatan inkubator, hanya masa sedikit mencemburui aku yang sedikit sebanyak terlibat dengan aktiviti sosial dan kekadang menjadi guru kepada anak-anak yang akan menduduki pepereksaan. Itulah sebenarnya nikmat setelah berhijrah ke Terengganu sepenuhnya hampir 1/2 tahun yang lepas.


Kursus Penetasan Telur Itik yang dianjurkan oleh PPK Pitas ini ialah khusus untuk Penduduk setempat yang dikategorikan sebagai miskin tegar di mana purata pendapatan isi rumah ialah di bawah RM150.00. PPK Pitas telah berjaya menyediakan pelbagai usaha untuk menaikkan status miskin tegar ini dan ianya berkisar kepada program pengeluaran telur itik. Sekadar makluman, sebanyak 7000 ekor itik Khaki Campbel telah dibekalkan oleh syarikat Niche Stategy Marketing kepada PPK Pitas pada akhir tahun 2010 untuk diedarkan kepada ahli-ahli PPK yang telahpun dikenal-pasti.


Dengan terlaksananya beberapa struktur yang telah diuruskan sendiri oleh PPK Pitas dan dibahagi mengikut kategori yang sesuai, maka segmen penetasan merupakan sebahagian dari program yang dirancangkan untuk tujuan yang sama. Saya difahamkan untuk program penetasan ini, PPK Pitas telah memilih 12 individu dari kalangan ahlinya sendiri dan mereka juga telah melantik ketua dari kalangan mereka dalam mengendalikan sistem penetasan ini.


Cumanya, tidak seperti di negeri-negeri lain yang pernah kami bekalkan inkubator kepada PPK, inkubator ini akan diletakkan di bangunan PPK Pitas kesemuanya, di mana ahli-ahli yang terpilih akan menggunakan inkubator yang tersedia ini untuk tujuan penetasan. Struktur pembahagian untung juga bakal dikenal-pasti di antara peserta dan juga PPK itu sendiri. Ada baiknya corak perlaksanaan seperti ini di mana sekurang-kurangnya ahli-ahli yang terpilih tidak perlu mengeleluarkan apa-apa kos tambahan untuk pembinaan bangunan untuk tujuan yang sama.

Kursus penetasan yang dijalankan hanyaah menitik-bertkan kepada kaedah-kaedah yang efisyen sesuai dengan mesin pengeram dan penetas yang dibekalkan. Di antara elemen-elemen yang dimasukkan ialah:

  • Perbezaan antara proses mengeram dan menetas (kenapa dan keperluannya)
  • Julat sushu
  • Julat kelembapan
  • Kedudukan telur semasa dan selepas proses pengeraman
  • Ciri-ciri telur yang sesuai untuk diramkan
  • Proses Candling
  • Proses Perindukan
  • Ciri-ciri kotak perindukan yang efektif
  • Pemakanan yang sesuai berbanding umur
  • Penyelenggaraan mesin penetas



Kursus juga selang-selikan dengan sesi soal jawab bagi memastikan peserta benar-benar faham akan keperluan dan tujuan sistem penetasan menggunakan teknologi inkubator ini. Rata-rata di sepanjang tempoh kurus yang memakan masa sehari suntuk itu mendapat sambutan yang amat baik dari peserta, pegawai-pegawai PPK serta wakil atau pemerhati dari LPP Negeri selaku pegawai penyelaras yang memang bertanggung-jawab khusus untuk memastikan keseluruhan program yang dilaksanan oleh PPK Pitas ini menghasilkan kejayaan yang cemerlang dan berpanjangan.


Di akhir program kursus ini, PPK telahpun mengeluarkan Sijil kepada peserta-perserta yang menghadiri kursus. Sijil-sijil tersebut telah di sampaikan oleh Wakil LPP Sabah, Cik Shafiah. Program ini telah ditutup dengan rasminya oleh Timbalan Pengerusi PPK Pitas Cikgu (B) Wahid.

Untuk rekod, Program yang dianjurkan oleh PPK Pitas untuk ahli dari kalangan yang terpilih sebagai miskin tegar ini merupakan satu projek pelopor yang rata-rata telah mendapat perhatian yang menyeluruh dari PPK Kawasan/Parlimen yang lain di Sabah.


Saya selaku pembekal sistem penetasan, pembekal baka-baka (anak-anak itik F1) dan sebagai penceramah amat-amat mengharapkan agar program ini dapat dipanjangkan untuk daerah-daerah yang lain di Negeri Di Bawah Bayu ini.

Sekalung tahniah kepada pegawai-pegawai serta peserta-peserta yang terlibat terutamnanya Encik Shahrun dan Cik Shafiah kerana telah berjaya menagadakan program yang seumpamanya.

COMMENTS :

Don't Spam Here 1

Ada byk x mesin penetas telur.

abd aziz said...
on 

Post a Comment

 

Incubation Specialist. All Rights Reserved. Powered by Your Niche Incubator Near You