Model Baru Sepintas Lalu


Assalamualaikum teman-teman penternakan unggas sekelian. Lama sungguh saya meninggalkan blog saya ini untuk menyajikan cerita-cerita baru. Berita baru banyak sekali. Semangat untuk berblogging pun syukur Alhamdulillah masih tinggi. Cumanya, keterbatasan waktu sahaja yang menyebabkan blog ini sepi dari berita.

Mutakhir ini, syukur saya tak terhingga dengan begitu banyak sekali pertanyaan yang positif yang membawa kepada pesanan yang sah. Samada yang berdeposit mahupun pesanan rasmi kerajaan. Maklumlah syarikatnya kecik sungguh operasinya. Pesanannya tidaklah sebesar mana. Tapi, Alhamadulillah setakat ini masih lagi bertenaga walaupun sedikit kelewatan berlaku bagi sesetengah pesanan.

Ini disebabkan antara lainnya ialah kerana penambah-baikan yang menjurus kepada pertambahan masa, kos dan tenaga.

Saya tidak berkesempatan untuk berceloteh panjang. Sekadar ingin memaparkan beberapa keping gambar dari sudut yang berbeza. InysaAllah, katalong akan menyusul kemudiah setelah bekalan pesanan dibereskan.
(Kalau diikutkan,tidak bisa dibereskan, kerana ianya sentiasa ada).

Kesemua konsep ini akan diguna-pakai kepada semua model inkubator keluaran kami pada masa akan datang:

  1. Ketebalan adalah 19mm
  2. Menggunakan kepingan "MICA" luar dan dalam.
  3. Menggunakan "Block Board/Log Board"
  4. Menggunakan Mentol Lampu sepenuhnya sebagai elemen pemanas!
  5. Dilengkapi dengan tapak yang tanpa karat
  6. Dilengkapi dengan control panel model baru
  7. Dilengkapi dengan thermo-hygrometer
  8. Kemasan yang amat menarik
  9. Sistem kalis air yang dipertingkatkan
  10. Ketirisan haba yang amat-amat minima





Semua Model Baru Bakal Berada Di Pasaran Bulan Ogos '10


Assalamulaikum dan selamat sejahtera pengunjung blog medannusahawan sekelian. Semoga anda semua ceria selalu dan berada dalam kesihatan yang terbaik.

Saya pernah memberi sedikit keluhan perihal kemalasan untuk update blog dan dalam waktu yang sama sedikit waktu dulu, saya juga menyeru kawan-kawan blogger penternakan supaya lebih aktif untuk mengupdatekan blog perniagaan mereka. Kerana mudahnya ialah, melalui bloglah yang merupakan sebahagian dari instrument yang percuma untuk kita memasarkan produk kita.

Akan tetapi, ianya sudah semacam wabak atau epedemik yang menyerang hampir keseluruhan blogger. Banyak sekali yang telah menunjukkan prestasi yang begitu menurun, tak terkecuali saya juga. Mengapa? Saya tiada jawapannya. Dan sehingga ke saat ini, saya mengumpul segala kekuatan untuk meneruskan menulis bukan sekadar untuk menceriakan blog saya, malah lebih daripada itu ialah untuk menwar-warkan beberapa perubahan dalam pembuatan inkubator keluaran saya.

Kerana ini adalah  merupakan satu kemestian bagi saya, maka tiada lagi alasan untuk saya berkata tidak. Ianya telah sampai ketahap wajib, kalau tidak masakan pelanggan dan bakal-bakal pelanggan saya mengetahui akan perubahan dan keluaran terbaru inkubator keluaran Niche Strategy marketing.

Berbalik kepada topik di atas, saya dengan ini mengumumkan bahawa bermula pada bulan Ogos 2010, syarikat kami akan mengeluarkan model-model baru menggantikan kesemua model yang sedia ada. Akan tetapi kami masih menetapkan sebahagian besar ciri-ciri, fungsi dan komponen utama inkubator keluaran Niche Strategy Marketing dikekalkan. Kerana ianya adalah "CORE" pembuatan inkubator automatik berkapasiti "MINI".

Kami masih lagi meneruskan kod-kod lama model inkubator kerana ianya senang difahami apabila kita  membuat perbandingan dengan kapasiti dan saiz ukuran, Ini akan memudahkan pelanggan-pelanggan dalam membuat tempahan dan kiraan.

Perkara yang paling penting sekali yang terdapat dalam keluaran baru ini ialah dari segi stuktur binaan. Terdapat juga kemasan luaran dan dalam yang tampak lebih anggun dan kukuh. Dalam waktu yang sama, model-model baru ini mempunyai ketebalan yang lebih baik dari model-model yang sebelum daripada ini. Tidak terniat untuk tidak memaparkan gambar untuk model-model ini, akan tetapi oleh kerana ianya masih lagi di peringkat ujian terakhir, ianya membataskan tujuan untuk mempertontonkan.

Walaupun demikian, suka saya memberi tahu bakal-bakal pelanggan serta pelanggan yang sudah menempah, baik dari sektor kerajaan mahupun pemilik individu, anda semua akan dipastikan menerima kesemua model baru sepertimana yang ditempah.

Tidak ada katalog baru dikeluarkan lagi sehinggalah selewat-lewatnya minngu depan. (Katalog mungkin lewata sikit, tapi paparan gambar InsyaAllah ada)

Scammer Ada Di Mana-mana - Waspada

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada semua.

Era perniagaan dihujung jari sudah lama betapak di One Malaysia ni. Biasanya ia dikaitkan dengan perniagaan internet atau perniagaan "ONLINE". Oleh kerana perniagaan secara demikian tidak melibatkan transaksi secara berdepan, maka sering kali ujud penipuan bilamana pembayar tidak menerima apa-apa barang seperti mana bayaran dibuat. Selalunya "penyedia perkhidmatan" membuat pelbagai helah dan alasan yang memungkinkan pembayar menerima alasan2 tersebut.

Dari sekecil-kecil transaksi sehinggalah yang melibatkan urusan mega. Di awal-awal dulu sering kali kotak emel diterjah dengan pelbagai pelawaan pelaburan yang cukup meragukan kesahihannya. Pelbagai bentuk dan muslihat. Lantaran itu penyedia perkhidmatan e-mel seperti Google, yahoo! hotmail dan sebagainya menyediakan 1 opsyen kepada pengguna untuk menyahkan emel dari kotak simpanan sekiranya emel tersebut berbau "penipuan" Ianya dinamakan sebagai "SPAM FILTER". Bagus kemudahan ini dan memberi banyak manfaat.

Namun demikian kemudahan sedemikian sudah diaplikasikan kepada sistem SMS atau MMS. lantaran itu terlalu ramai pengguna telefon mudah alih menerima sms yang menjurus kepada scam. Ianya tidak terhad kepada barangan yang bersifat IT. Malahan banyak lagi.

Antaranya baru-baru ini saya didatangi oleh seorang penghantar sms menawarkan perkhidmatan membekal anak ayam kampung dengan harga yang memang tidak masuk akal. Tidak cukup dengan itu "Scammmer" ini menawarkan potongan harga yang "kaw-kaw" demi untuk meyakinkan penternak. Scammer ini sanggup menghantar sms yang berkali dan tidak kurang juga menelefon untuk lebih meyakinkan lagi.

Dalam masa yang sama pelbagai tektik digunakan termasuklah menyamar diri sebagai seorang Islam setelah mengenali saya ini seorang Muslim. Dengan telor bahasa yang memang saya kenal pasti itu bukan seorang Melayu yang lazimnya (melayu itu adalah Islam di Malaysia ini). Sanggup dia mengaku yang dia adalah saudara baru Islam.

Dalam suasana yang mencurigakan, saya pula didatangi oleh seorang teman penternak yang menghadapi masalah yang sama. Beliau juga dihubungi oleh scammer yang sama.

Takutkan akan perkara ini menular dengan lebih hebat lagi, saya telah meminta kerjasama seorang yang memang mahir dalam membuat urusan sedemikan (soal tawar-menawar). Maka berlakulah satu lakonan yang mana pada akhirnya menjurus kepada terbukti beliau adalah scammer.

Selepas daripada itu, tidak ada lagi mesej-mesej liar yang cuba memerangkap para penternak. Dan semoga ianya memberi sedikit pengajaran dalam menjadikan saya lebih berwaspada lagi.


Antara Networking, Sahabat & Tolong Menolong

Assalamualaikum dan selamat bersua sekali lagi para pembaca blog medanusahawan sekelian. Semoga anda di luar sana semuanya beroleh kesihatan

Syukur Alhamdulillah saya selamat sampai ke Puchong setelah memandu lebih kurang 7 jam dari Kuala Terengganu bersaorangan (tak taulah pulak kot ada orang halus ikut, sebab tak nampak!). Amat jarang sekali saya berpeluang untuk memandu dalam suasana yang begitu selesa tanpa mengantuk. Selalunya saya mengambil hampir 12 jam untuk sampai ke Puchong kerana sering mengambil "short nap", kekadang tu sampai 8 kali di sepanjang perjalanan. Mungkin malam tadi saya mempunyai tidur yang cukup, barangkali!

Kepulangan kali ini adalah kerna beberapa tujuan antaranya ialah membuat penghantaran ke beberapa destinasi termasuk PPK Kuala Selangor, Paya Jaras dan Shah Alam serta sebagai stok di Puchong. Ini adalah penghantaran terakhir untuk model yang sedia ada.

Urusan penghantaran ini telah pun difkirkan semenjak hampir 1 bulan yang lalu dengan pelbagai rintangan kecil yang dihadapi terutamanya melibatkan masalah kos penghantaran. Ini adalah kali ke 3 penghantaran dibuat dari Kuala Terengganu dan sebelum daripada ini, saya sering bernasib baik kerana berkesempatan "menumpang" lori. Kali ketiga ini, puas juga saya "riki2" sehinggalah saya sudahpun menempah tuan lori yang tinggal berdekatan dengan rumah orang tua. Jangkaan penghantarannya ialah pada minggu lepas

Tuah ayam nampak di kaki, tuah saya, saya sendiri pun memang tak tau. Namun begitulah ditakdirkan. Dan inilah pentingnya kita membuat jaringan maklumat. Melalui samada BLOG ataupun forum-forum saya telah diperkenalkan kepada seorang pengusaha ayam kampung yang juga merupakan seorang kakitangan jabatan kerajaan yang sering berurusan dengan barangan keperluan harian. Tidak perlulah saya sebutkan di mana beliau bekerja namun namanya ialah En Taufik. Seorang yang pada saya terlalu senang untuk didekati dan suka mendengar dan suka juga memberi pandangan dan buah fikiran yang bernas-bernas.

Bermula dari perkenalan itulah (setelah mengetahui latarbelakang kerjaya sebenar beliau) maka saya tanpa segan bercerita masalah yang paling serius yang saya hadapi apabila membuat operasi di Kuala Terengganu - masalah pengangkutan. Ininya menjadikan produk saya tidak lagi ekonomik kerana saya terpaksa menambah kos sampingan. Walaupun di Kuala Terengganu, saya telah mempertingkatkan kualiti barangan keluaran khususnya dari segi struktur binaan.

Tidak saya sangkakan bisikan masalah saya diterima sebagai satu pertolongan ikhlas aka bantuan yang memang tidak disangka-sangka. Beliau ikhlas ingin membantu saya untuk menghatar inkubator saya ke Puchong tanpa meminta apa-apa upah kerana lori-lori yang beliau uruskan selalunya berpergian secara "kosong" dari Kuala Terengganu ke mana-mana destinasi termasuk ke Kuala Lumpur. Maka saya segera mengambil kesempatan ini.

Lalu, sekitar jam 5 petang tadi beliau beserta dengan drebar beliau telah membantu bersama-sama mengangkat 4/5 buah inkubator untuk dimuatkan ke dalam lori. Dalam pada itu juga, terdapat kesilapan teknikal yang menyebabkan kesukaran untuk membuat "loading", akan tetapi beliau berusaha keras memastikan "missi"berjaya.

Terharu juga saya mendengarnya. Ini kerana sepeninggalan saya, saya telah mengamanahkan anak saya untuk menaikkan kesemua inkubator ke dalam lori. Akan tetapi En Taufiklah yang menjadi "target" ketika itu menguruskan segalanya. Saya pada ketika itu telah pun berada di Kuantan. Tinggallah En Taufik, drebar dan anak saya menyelesaikan kerumitan sehingga berjaya memuatkannya ke dalam lori.

Sudah lah perkhidmatan itu FREE, saya tinggalkan pula masalah untuk dilangsaikan.

Itulah sedikit luahan hati saya kepada sahabat yang baru sangat saya kenali. Seolah seperti tidak percaya perkara ini berlaku. Terus terang saya katakan, memang saya tidak mengenali En Taufik secara dekat! Tidak pula saya ketahui, balasan yang macam mana yang perlu saya tunaikan kepada beliau.

Untuk En Taufik, saya sentiasa memohon kepada Allah, agar Allah membalas jasa anda setimpal dengan apa yang anda lakukan di dunia dan juga di akhirat.

Apa yang dapat saya katakan ialah TERIMA KASIH DAUN KELADI.

Mutakhir ini, semenjak bermustautin di Terengganu, memang agak ramai saya berjumpa dengan manusia-manusia yang baik-baik dan sanggup membantu khususnya dalam melihat perniagaan saya bertapak dengan baiknya di Terengganu.

Seikhlasnya, saya mendoakan anda semua diberkati oleh Allah dalam apa jua tindak tanduk anda. Amiiinnn.!



Kaedah "Candling" Secara Tradisional (Konvensional) Untuk Telor Itik/Angsa

Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog medanusahawan yang beragama Islam dan selamat datang kepada yang lainnya.

Ye! Lama sungguh saya tidak berposting. Seperti ada Virus baru menyerang perasaan dengan mendambakan perasaan malas yang tak terhingga. Ianya telah menyebabkan berblogging tidak lagi "sticky" seperti dulu. Memanglah kalau nak dikirakan sibuk, semenjak akhir2 ini memang sungguh sibuk. Akan tetapi, sebelum daripada ini tidaklah sehingga menyebabkan blog ini sepi dari posting.

Saya sungguh bertekad untuk meng"imarah"kan dengan posting2 yang baru dan berkualiti. Sehingga kekadang itu, tetikus pun telah dipegang, tinggal lagi malas hendak menghentam kebod. Banyak juga cerita dan peristiwa yang patut dikongsikan dengan sahabat semua.

Baiklah. Kali ini saya cuba untuk kongsikan dengan anda satu topik yang agak baru dalam kehidupan saya iaitu perihal "Candling" Secara konvensional. Kita sering mendengar perkataan "Candling" yang dipinjamkan/dirompak dari perkataan orang putih. Maka berlumba-lumbalah penternak memiliki "lampu ajaib" itu untuk tujuan melihat pembentukan dan pertumbuhan embrio di dalam telor. Pelbagai bentuk lampu suluh digunakan.

Namun sedikit berbeza dengan pengalaman saya dengan seorang penternak VETERAN di kampung saya.

Pada hari Sabtu semalam, saya ada buat temu janji untuk mendapatkan bekalan telor untuk tujuan penetasan Dijemputnya saya ke rumah yang memang agak sudah bersedia untuk bercerita. Lalu diberinya telor ayam kampung yang dipesan dan juga telor itik yang ingin ditetaskan menggunakan mesin penetas. Oleh kerana saya memang tak pernah melakukan penetasan telor itik, maka saya memberitahu orang tua itu bahawa sekiranya telor tidak menetas seperti yang dijangkakan, janganlah pula saya dimarahi. Saya memberitahu orang tua tersebut saya akan membuat proses "scanning" untuk memastikan hanya telor yang berbenih sahaja akan diteruskan pengeraman.

Maka beliau pun mencelah, "bagaimana kamu melakukan candling"?

Saya mengatakan bahawa saya menggunakan lampu khusus. Maka dia mengatakan, dia tidak pernah ada lampu untuk memastikan telor itik yang diramkan adalah berbenih atau tidak. Caranya ialah dengan merendamkan keseluruhan telor ke dalam air sejuk (air paip) dan membiarkannya. Sekiranya telor itu terapung dan dia akan bergerak dengan cergas (bergolek-golek) maka nyatalah telor itu telor yang telah mempunyai anak yang bakal menetas dengan cantiknya.

Sesudah ke semua telor dibuat "candling" secara konvensional, maka telor-telor tersebut dimasukkan semula ke bawah perut ibu atau ke dalam mesin penetas (sekiranya menggunakan mesin).

Seperti kata beliau hanya telor spesis itik sahaja sesuai dibuat "testing" kaedah tersebut. Dan tambah beliau lagi, ianya boleh dilakukan dalam waktu waktu terakhir proses penetasan (dalam 21 hari ke atas katanya).

Moralnya, samada betul atau tidak, saya belum mencubanya. Namun saya mempunyai telor itik yang diberikan khusus kepada saya untuk ditetaskan sebanyak 12 biji semalam. Saya bertekad untuk melakukan apa yang dikatakan oleh orang tua tersebut.

Semoga ianya akan ada persamaan antara teori dan praktikal, bila mana, setiap angsa yang sedang mengeram pada peringkat akhir, akan sentiasa kerap turun ke dalam air dan kembali semula ke pada telor setelah beberapa ketika berada di dalam air.

Anda bagai mana? Adakah anda pernah mendengar cerita-cerita yang sedemikian?