Sedikit Informasi Berkaitan Dengan Tray Telor

Di sini dipaparkan beberapa kedudukan yang menunjukkan keadaan dan saiz sebenar tray telor keluaran kami yang kami padankan khusus untuk pengeram telor keluaran kami. Sehingga sekarang ini, kaedah ini adalah yang paling sesuai untuk inkubator keluaran kami.

Walaupun "feature" sebenar menghampiri inkubator "SPORTMAN", namun kami hanya mengambil apa-apa yang praktikal untuk disesuaikan dengan keadaan tempatan dan juga membuat penambah-baikan di mana perlu, khususnya apabila melibatkan penjimatan kos.



Terbukti, kaedah ini merupakan sebahagian dari cara untuk kami menurunkan harga inkubator keluaran kami di samping kami sentiasa dari semasa ke semasa membuat kajian untuk menurunkan kos inkubator keluaran kami tanpa sedikit pun berkompromi dengan mutu (quality). Malahan, kami dapat mempertingkatkan kualiti inkubator keluaran kami buat julung-julung kalinya dengan menukarkan "heater" kepada yang lebih sesuai dan tinggi mutunya tanpa sedikit pun kami menaikkan harga inkubator, walaupun peningkatan harga yang cukup tinggi dari segi pembelian "heater" itu sahaja.


Namun, itulah pengorbanan yang kami terpaksa lakukan khususnya untuk tidak memberikan masalah kepada para pengguna/pemilik inkubator keluaran kami.


Sedikit penerangan dengan kapasiti/muatan telor untuk model MI-103S/D/E (model 3 tingkat).

  1. Setiap tingkat terdapat 2 tray yang diperbuiat dari bingkai aluminum digandingkan dengan dawai halus.
  2. Tray yang pertama mempunyai 4 jalur/longkang
  3. Tray yang kedua mempunyai 3 jalur/longkang.
  4. Jumlah keseluruhan jalur adalah 7
  5. Setiap jalur memuatkan maksima 15 biji telor ayam kampung yang standard (gambar menunjukkan telor ayam bandar - gred B yang muatannya ialah 14 biji kerana saiznya yang agak besar dengan telor ayam kampung)
  6. Maka, keseluruhan muatan untuk satu tingkat ialah sebanyak 105 biji telor ayam kampung.
  7. Jumlah maksima untuk 3 tingkat ialah 315 biji ayam kampung.

Sekiranya digunakan untuk menetaskan telor puyuh, menggunakan kaedah ini membolehkan muatan melebihi 700 biji telor sekiranya dibuat 3 tingkat. Akan tetapi, kebiasaannya, kami khususkan kepada 4 tingkat kerana perbezaan saiz telor yang ketara. Dengan itu, untuk telor puyuh, muatan sebenar boleh mencapai menghampiri 1,000 biji telor menggunakan kaedah yang dinyatakan di atas.

Video Khas - Cara Eggs Turner Berpusing

Sekadar untuk tontonan para pelayar blog saya. Saya paparkan clip video ini untuk memperlihatkan bagaimanakah tray-tray telor yang terdapat dalam inkubator mini keluaran saya ini berpusing.

Apa yang diperlihatkan itu adalah memang kelajuan sebenar sebenar tanpa edit. Ianya amat "fine" tanpa dapat kita lihat telor-telor atau tray-tray tersebut tergolek-golek.

Telor-telor di letakkan dalam "bekas" telor yang mempunyai kesan "grip" antara permukaan dawai/jaring yang digunakan.







Membaiki Kerosakan Inkubator

Sedikit sibuk dengan tugasan untuk menyiapkan kerja-kerja di beberapa lokasi termasuk Proton dan MINT (dulu2nya dipanggil PUSPATI - MALAYSIAN NUCLEAR AGENCY). Dalam kesibukan berkejar ke sana dan ke mari di samping dengan kerja menyiapkan beberapa unit Mini Inkubator MI-103D, saya telah disapa melalui panggilan telefon dari Jabatan Veterinar Paya Jaras. Hamba Allah itu memberitahu hasrat jabatan untuk mempelawa saya membaiki kerosakan pada sebuah inkubator "Petersime" yang perlu untuk dijalankan dalam waktu yang singkat ini.

Kalau hendak dikirakan sibuk, memang saya fikir saya kena dropkan dulu kerja yang dipelawakan itu, akan tetapi, bila mengenangkan akan bertapa sahabat itulah yang banyak mendorong saya untuk memperluaskan cabang perniagaan saya khususnya yang berkaitan dengan kemahiran. Lantaran itu, setelah berbincang dan meneliti permasalahan, saya pun memulakan kerja membaik-pulih mesin pengeraman (inkubator) (sila lihat gambar dibawah).

Melihatkan keadaan gambar, memang mesin tersebut agak tidak tersusun dan tidak bersih. Maklum sajalah, sejak sekian lama tidak terusik (barangkali ada kot dalm tempoh hampir 1 tahun terabai), terdapat beberapa kesan kecacatan yang berlaku seperti ketirisan bumbung dan kebocoran paip air sejuk (chiller). Ditambah pula, keseluruhan sistem tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya termasuklah sistem elektrik.



Antara kenapa mesin pengeram tersebut tidak berfungsi ialah disebabkan masalah heater, blower motor, ventilation fan, humidity dan temperature controller yang tidak berfungsi.

Menggunakan kemahiran yang ada, keseluruhan mesin tersebut telah dapat dipulihkan kepada keadaan asal. Sebelum melangkah pulang, saya sempat menunjukkan cara-cara dan kaedah untuk membuat setting pada mesin pengeram tersebut yang sudahpun hilang "manual"nya. Setelah itu, saya meninggalkan bilik tersebut dengan perasaan yang sungguh lega dan cukup-cukup berterima kasih kepada pegawai tersebut.



Terkenang Kembali

Syukran! Itulah yang dapat saya ucapkan!

Semalam, saya dan juga rakan saya telah menghabiskan lebih dari suku hari berada di Bilik Penetasan Itik, Jabatan Veterinar, Pusat Pembiakan Itik Paya Jaras Hilir, Selangor Darul-Ehsan. Yes! itulah tempat yang mula-mula sekali aku mengenali apa itu inkubator dan penetas (hatcher). Semuanya itu berlaku hampir sekitar 7 tahun yang lepas, setelah JPH Paya Jaras diperkenalkan oleh seorang sahabat karib.

Walaupun kemahiran sebenar saya ialah di dalam bidang "automation, control & monitoring systems", saya lebih banyak melibatkan diri dengan pelbagai pembuatan robot dan mesin untuk urusan pembuatan automotif, termasuklah Proton dan Perodua. Sehinggalah suatu hari, saya telah diminta untuk menyelesaikan satu permasalahan berkaitan dengan mesin pengeraman di JPH Paya Jaras. Di situlah bermula satu lembaran baru yang selama ini saya sedikit pun tidak pernah terlintas akan keujudan produk yang menggunakan sistem kawalan atomatik sepenunya.



Itu dulu dan sehinggalah saya terlibat dalam kemalangan di tempat kerja, saya telah terpisah jauh dari pelanggan-pelanggan saya termasuklah Proton dan Perodua. Kecederaan yang mengambil masa agak lama untuk pulih (sekitar 1 tahun setengah), hanya di awal tahun 2008, saya mula untuk merangkak kembali menemui pelangan-pelangan saya, tetapi bukanlah Proton dan Perodua. Ianya adalah JPH Paya Jaras juga.

Dalam keadaan fizikal yang hanya 60 peratus "fit" untuk bergerak, saya gagahkan tekad saya untuk ke JPH ingin menawarkan khidmat saya sekiranya ada sesuatu yang sesuai untuk saya, khususnya kot-kot ada mesin2 pengeram, penetas dan juga closed-house system. Mungkin kerana waktu suasana adalah tidak menyebelahi saya, tidak ada apa pun yang dapat ditawarkan. Mungkin di ketika itu mesin2 semuanya dalam keadaan baik. Namun, saya tidak putus asa betanya sesuatu kepada pegawai yang menjaga bilik penetasan, kot-kot ada idea yang membolehkan saya menyumbangkan keringat dan idea yang sesuai dengan keadaan fizikal saya di waktu itu.

Lantas, saya dipelawa untuk membina inkubator bersaiz mini dengan pegawai tersebut mem"beri" saya satu set inkubator mini yang telah terbarai (dirungkai semau-mahunya). Hanya rangka sahaja yang tinggal, itupun hasil daripada menjadi bahan ujian beberapa pihak sebelum diserahkan kepada saya. Set inkubator mini itu adalah adalah set asli keluaran SPORTMAN, buatan Amerika.

Dipisah-pisahkan dan ditelek-telek, akhirnya saya mendapat idea untuk membina satu set prototype mini inkubator berlandaskan model "barai" SPORTMAN. Saya begitu berkeyakinan yang saya mampu menyediakan sebuah inkubator mini yang memiliki ciri-ciri incubator bersaiz mega. Dalam keadaan terhencot-hencot, saya menggunakan khidmat seorang kawan yang menceburi bidang pembuatan perabot untuk membina "body" menggunakan papan lapis sama seperti SPORTMAN, maka dengan kerjasama tersebut terbinalah set prototype yang mempu berfungsi.

Aku hanya menggunakan 100% controller buatan aku sendiri. Juga mampu berfungsi secara automatik sepenuhnya sama seperti SPORTMAN. Cumanya, sekiranya controller itu aku gunakan untuk tujuan pasaran terbuka, aku yakin, ramai orang dapat meniru dengan mudah sekali. Jadi aku bertekad, aku gunakan teknologi mikro-controller demi untuk memberi sedikit rintangan khususnya kepada pereka-pereka inkubator.

Maka bermulalah siri kehidupan aku dengan satu produk yang baru, yang langsung tidak pernah terfikir diingatan aku untuk sampai ke sini. Aku mulakan pemasaran aku dengan hanya meletakkan iklan percuma yang ditawarkan oleh mudah.com (walaupun mudah.com mempunyai muslihat perniagaan). Aku terkejut dengan pelbagai pertanyaan yang diterima. Aku juga hampir tak percaya begitu banyaknya pertanyaan

Tetapi dalam pada itu, di sebalik banyaknya pertanyaan, namun pada awalnya agak kecewa juga kerana ianya hanya sekadar pertanyaan semata-mata. Manakan tidaknya. Di dalam ruang iklan yang sama, terdapat juga pesaing dari golongan pembuat inkubator manual. Harganya jauh lebih murah, hampir sepuluh kali ganda.

Aku terus istiqamah untuk menyimpan kesabaran. Aku yakin bahawa, walaupun mahal harganya, produk keluaran aku adalah jauh lebih baik teknolginya berbanding dengan inkubator manual. Dan perasaan itu terbukti kini.

Apapun, aku seharusnya menyampaikan rasa terima kasih aku kepada En Jamal Nasir, Pembantu Veterinar, Pusat Pembiakan Itik Paya Jaras, kerana telah mengesyorkan peluang perniagaan ini. Semoga En Jamal dan keluarga dilimpahi dengan rahmah Allah swt di sepanjang masa

Heater Baru Untuk Penetas/Pengeram

Seperti dijanjikan, saya paparkan heater terbaru yang akan saya gunakan di dalam semua jenis pengeram dan penetas telor keluaran saya, bermula dengan unit yang pertama keluaran ini adalah kepunyaan En. RAZIB dari Johor. En. Razib telah menempah sejak dari awal minggu lepas dan sekarang ini dalam proses penyiapan.

Sesiapa yang berminat, boleh berhubungan dengan saya kerana heater ini dibuat khusus untuk dipadankan dengan kipas yang betul-betul sama saiz.

Heater ini berkapasiti 1000 Watt, 230VAC dan amat sesuai untuk jenis "circulated air incubator/hatcher" dengan kipas berkelajuan tinggi. Ini merupakan heater yang ditempah khusus untuk kesemua model MI-103E/D/B.(Nota : tidak sesuai untuk "static/still air incubator"). Dengan menggunakan "heater coils", maka pengeram telor/penetas keluaran kami menghampiri kepada ciri-ciri penetas telor SPORTMAN yang sebenar hampir keseluruhannya.

Sebelum ini, kesemua pengeram telor keluaran saya menggunakan heater berkapasiti 700W dan kebanyakannya menggunakan "bread toaster". Dengan penemuan baru ini, ianya akan memprtingkatkan lagi kualiti pengeram telor automatik keluaran kami.




Blog Medanusahawan Berwajah Baru

Syukran!

Aku telahpun siap sepenuhnya meng"upload"kan format baru blog aku. Tak lah lama sangat, bermula malam semalam dan baru siap kejap tadi.

Tak lama pun, hampir 4 jam juga nak menyiapkannya. Ianya menghampiri ciri-ciri website yang menggunakan domain tersendiri.

Berapa kolum?, beberapa banyak pun boleh, tetapi mestilah memadai dengan kegunaan blog kita

Kepada sesiapa yang berminat nak men"style"kan reka-bentuk blogspot mereka, bolehlah menghubungi aku.



Usaha Gigih Pengusaha Veteran

Dua hari yang lepas, saya berkesempatan berkunjung ke rumah/ladang ternakan milik pelanggan yang pernah membeli mesin penetas telor model MI-103. Tujuan asal yang sebenarnya ialah ke ladang milik Zul Hilmi Kamarudin di Branang Selangor. Tujuan asal juga adalah untuk membaiki permasalahan suhu yang tidak stabil pada inkubator milik En Zul.

Oleh kerana saya lebih selesa ke Branang melalui Pekan Semenyeh melalui jalan Bangai lama, saya singgah sebentar di salah sebuah rumah milik salah seorang dari pengguna mesen penetas telor buatan saya. Saya kurang ingat nama penuh pemilik inkubator tersebut yang memang bekerja sepenuh masa berladang. Saya sering memanggil pelanggan saya itu sebagai "WAK" sahaja. Orang tempatan yang berketurunan Jawa. Memang agak pekat "ngomong" Jawannya dengan saya. Yang saya kenal ialah anak kepada Wak, yang bernama En. Saifudin yang bekerja dengan Utusan Malaysia. Dengan En Saifudinlah saya sering berurusan di waktu-waktu awal perbincangan dulu. Segala maklumat berkaitan dengan kaedah menggunakan mesin tersebut diperjelaskan kepada En Saifudin dan juga adiknya sambil diperhatikan oleh Wak dan adiknya, dengan sesekali mencelah.


Alhamdulullah, semuanya berjalan lancar. Sewaktu saya berhenti untuk melihat perkembangan penternakan Wak, Wak hanya bersendirian di rumah. Barangkali sedang berinteraksi dengan "anak tetasan" batch pertama menggunakan mesen penetas telor kerana kelihatan Wak tergesa-gesa muncul setelah menerima sapaan saya. Terus saja saya bertanya Wak aka keadaan mesin penetas tersebut, dan dengan wajah yang selalu ceria Wak menjawab,OK, belum ada apa-apa masalah. Penetasannya cukup baik! Ujar Wak dengan bersungguh-sungguh.

Pada awalnya saya tertanya-tanya di manakah letaknya mesin penatas telor yang saya ada terdengar operasi kipas yang sedang berputar. Rupa-rupanya di salam rumah diruang tamu sahaja.

Jelas beliau, beliau cukup gembira denga prestasi mesin penetas telor tersebut. Cumanya Wak ada mempunyai sedikit masalah untuk mendapatkan telor berbanding dengan kapasiti mesin. Saya menasihati Wak agar kesemua baka-baka ayam dikumpul di dalam reban yang dibina khusus untuk tujuan pembakaan. Apa yang beliau praktiskan sekarang ialah membiarkan ayam-ayam baka tersebut bebas bergerak di dalam kebun/ladang tanpa batasan. Setelah sedikit perbincangan dilakukan, Wak yang pada asasnya telah pun memahami kaedah tersebut akur dengan kaedah yang dinyatakan dan akan berusaha secara yang bersungguh-sunguh untuk memastikan ibu-ibu ayam yang sekitar 60 ekor itu dikurungkan untuk mendapatkan telor yang disenyawakan, seklai gus meningkatkan produktiviti pembakaan.

Setelah agak panjang berbincang dan juga bertukar-tukar fikiran dan pandangan, Wak menjemput saya untuk melihat sendiri hasil usaha beliau. Wak telah pun mencipta
kotak perindukan untuk tujuan nurseri. Saya kagum dengan usaha Wak yang telah menjangkau usia 60 puluhan (barangkali dari raut wajah saja), yang telah menerobosi jurang teknolgi berbanding dengan penternak-penternak ayam kecilan yang lain.

Ini adalah kerana, beliau tidak perlu lagi bersusah payah untuk meninjau-ninjau mesin penetas telor, kerana ianya dijalankan secara otomatik. Wak mempunyai lebih banyak masa untuk mengusahakan ladang beliau yang merupakan mata pencarian asas kepada keluarga beliau. Adalah diharapkan pada suatu hari nanti, dengan berkat usaha beliau, Allah akan mempermudahkan usaha beliau untuk menjadi pengusaha@pembekal pruduk keluaran ayam kampung asli yang unggul, kalau pun tidak di Malaysia, cukup untuk di sekitar tempat tinggal beliau.

InsyaAllah.


DOC Dan Proses Nurseri

Saya telah mengikuti banyak perkembangan-perkembangan tentang permasalahan yang sering dihadapi oleh penternak-penternak ayam kampung, termasuk ayam piru (Belanda), puyuh, itik dan sebagainya dengan secara lebih dekat.

Sebagai pengeluar mesin penetas telor yang masih baru dalam pasaran Malaysia, saya banyak juga menjelajah keseluruh pelusuk tanah air. Kekadang, saya lebih suka menghabiskan sedikit wang sebagai "duit minyak" untuk saya sendiri menghantar penetas telor yang dipesan oleh penternak. Kekadang, jaraknya jauh sehinggalah ke Penang, Kedah, Johor, Terengganu dan sebagainya. Tujuannya ialah tiada lain dan tiada bukan, hanyalah untuk mendapat sedikit maklumat dan juga perkongsian pengalaman dan ilmu dengan penternak-penternak yang biasanya beroperasi di ceruk-ceruk kampung dan pendalaman.


Antara banyak-banyak masalah ialah yang berkaitan dengan penetasan dan perindukan atau nurseri - kata pinjaman dari Bahasa Inggeris.

Ya! Memang kekadang tu, penternak harus merasa lega, manakan tidaknya, kalau dulu mereka berhempas pulas dengan mengumpul ibu-ibu ayam untuk menetaskan telor, tapi Alhamdulillah, sekarang mereka telah mempunyai penetas yang otomatik. Ini secara langsungnya telah membantu mereka mengurangkan masa secara mendadak menjaga kerenah ibu-ibu ayam. Dan mereka bersyukur dengan adanya penetas otomatik ini, mereka mempunyai masa yang lebih untuk menumpukan perhatian kepada kerja-kerja yang lain. Tambah-tambah lagi penetasan menggunakan mesin penetas telor ini amat berkesan dari segi peratusannya.

Masalah penetasan selesai. Kalu dahulunya penternak sering mengalami kekurangan ibu untuk menelorkan, sekarang tempoh pusingan untuk bertelor seseekor ibu ayam sudah dapat dikurangkan dengan mendadak. Ini telah meningkatkan proses pengeluaran telor dan anak ayam.

Akan tetapi, polimik yang terbaru ialah masalah cara mana hendak menjaga anak-anak ayam yang baru tetas ini (DOC). Ini adalah anak ayam "YATIM". Maka di sinilah bermulanya polimik tersebut bilamana anak-anak ayam tersebut senang sangat mati. Pelbagai kekeliruan ditimbulkan dan pelbagai kaedah penyelesaian diperkenalkan, namun untuk mengurangkan kadar kematian anak ayam tetap tidak berubah. Umumnya penternak-penternak ini menghadapi masalah tiada "PERINDUKAN" yang stabil atau dalam kata lain perindukan secara tabi'e.

Masalah yang paling biasa ialah anak ayam mati kesejukan. Walaupun proses perindukan separa moden dilakukan, namun masih terdapt banyak lagi kekuranganya. Belum lagi kita bercerita perihal anak-anak ayam mati digigit semut, nyamuk, lipan, binatang-binatang liar yang lain. Apa yang saya perhatikan, kesemuanya itu tidak diambil kira sebagai sebahagian dari masalah kepada proses perindukan seperti mana ibu ayam melakukan kepada anak ayam secara tabi'e. Di waktu-waktu malam, keseluruhan anak-anak ayam dilindungi oleh ibu ayam bukan sahaja dari segi kepanasan/kelembapan, malah dari segi serangan anasir luar sekali. Ditutup rapat dengan kepak-kepak mereka demi menjaga keselamatan anak-anak mereka.

Sehubungan dengan itu, melalui projek generasi kedua saya yang sudahpun memulakan pembinaan beberapa unit mesin perindukan yang beroperasi secara otomatik sepenuhnya yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
  1. Proses pemanasan dalam chamber yang berfungsi secara otomatik.
  2. Perubahan kelembapan di dalam chamber mengikut peringkat umur secara harian
  3. Kawalan nyalaan lampu secara automatik berpandukan suasana atau cuaca persekitran
  4. Menggunakan teknologi EM dengan kaedah-kaedah terkini yang bersih, kampak dan tanpa bau.
  5. Menjana pendapatan tambahan dengan mengubah najis ayam kepada baja organik yang berkualiti tinggi
  6. Menghindarkan anak-anak ayam dari serangan nyamuk, semut dan binatang-binatang buas yang lain.
  7. Alat pengawal akan dilengkapi dengan sistem buzzer dan lampu amaran sekiranya berlaku ketidak-stabilan elemen dalaman.

Kesemua proses-proses di atas telah dimanipulasikan melalui pengamatan dan kajian yang agak menyeluruh berpandukan kepada rungutan yang disepakatkan penternak.

Adalah menjadi hasrat saya, disamping dengan sedikit ilmu yang dipinjamkan oleh Allah swt ini, saya cuba untuk mempermudahkan cara dan teknik demi untuk membantu para penternak ayam serta yang lainnya dari mengalami masalah kematian anak ayam yang berterusan.


Bermasalah Untuk Mendapatkan Bekas Eraman Telor?


Seringkali saya dapati ramai di antara kekawan di sini yang masih mencari-cari kaedah terbaik untuk penyediaan eraman telor. Kalau dari internet tu, pelbagai ragam dan bentuk yang dipaparkan.

Saya telah menemui kaedah mudah untuk membuatnya.