Showing posts with label Menternak Ayam Kampung. Show all posts
Showing posts with label Menternak Ayam Kampung. Show all posts

Projek Tahun Baru 2010

Ahlan Wasahlan. Tahun 2010.

Yup!, saya menunggu kedatangan tahun baru ini dengan penuh semangat dan kesungguhan. Berbeza dengan puluhan tahun yang lampau, tahun 2010 akan menjadi salah satu antara tahun-tahun yang istimewa bagi saya secara peribadinya. Belum pernah saya memasang azam sedemikian rupa malahan boleh dikatakan tiada pun azam yang secara bertulis sama ada di dalam buku mahupun dalam mana-mana diari. Akan tetapi, kali ini sungguh berbeza. Azam telah ditanam semenjak beberapa bulan yang lalu untuk saya jelmakan dalam bentuk yang fizikal yang pastinya tahun ini (seawal tahun) akan saya pastikan saya akan kembali ke negeri asal!

Akan saya pastikan kepulangan menjadi realiti. Namun saya juga akan pastikan yang kepulangan ke kampung bukanlah hanya sekadar mengharap belas ehsan sesiapa. Pulang ke kampung juga berbekalkan sedikit teknologi, pengalaman dan juga perancangan yang agak rapi. Mungkin sedikit berbeza dengan beberapa kenalan saya sebelum ini, mereka pulang ke kampung hanya semata-mata kerana kehilangan punca pendapatan atau dengan kata lainnya, mereka buntu dalam mencari jalan keluar disebabkan kehilangan perkerjaan atau kesempitan hidup di bandar-bandar besar yang penuh dengan pelbagai rintangan.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan, yang sebab-sebab sedemikian tidak ada pada diri saya. Saya masih lagi mampu mendapatkan rezeki yang halal di kala sebahagian besar kenalan saya menghadapi ujian getir dari Allah s.w.t.  Syukur Alhamdulillah Allah masih memurahkan rezeki.

Saya akan tetap teruskan usaha untuk menjadi pembekal dan pembuat Inkubator seperti mana yang pernah saya "CHART"kan di dalam profil blog ini. Bagi saya, jarak sempadan bukanlah halangan mutlak untuk membolehkan saya kembali bermustautin di kampung halaman. Memang betul dari segi logistik ianya akan melibatkan pengurusan kos yang agak mahal terutama pengangkutan dan pengurusan masa sebahagian daripadanya. Akan tetapi ianya akan dikurangkan dengan agak selesa berbanding dengan kos sewaan, tenaga pekerja yang agak mudah dan murah serta harga sebahagian dari bahan-bahan pembuatan adalah jauh lebih murah. Kesemuanya ini, sekiranya dicampur-campur dan ditolak, sudah tentu akan dapat mengimbangi kos pengangkutan, seterusnya menjadikan Inkubator Niche masih lagi relevan kepada penternak-penternak.



Keduanya, selain membuat inkubator keluaran sendiri, kami juga telah memulakan program pemasaran barangan keluaran Brinsea yang memang mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan penternak di Malaysia. Syukur Alhamdulillah, belum pun sempat sebulan dilancarkan, telah terdapat ramai pelanggan yang membeli pelbagai produk keluaran Brinsea. Ini merupakan petanda yang bagus. Sementara itu, kedai atau premis perniagaan telah pun dikenal-pasti yang akan memuatkan sebahagian besar pelbagai produk yang berkaitan dengan keperluan penternakan.

Yang ketiganya, kami juga telah berjinak-jinak dengan sistem pembakaan Ayam Kampung dan juga sistem penetasan dan perindukan. Inilah antara perniagaan sampingan (buat masa sekarang) yang pastinya berkait rapat dengan pengujian secara "live" setiap daripada inkubator keluaran kami terutamanya dan juga dari Brinsea. Kesudahannya, kawasan telah pun dikenal-pasti dan reban adalah dalam proses pembinaan. Sebahagian dari baka-baka juga telah diperolehi secara berdeket-deket.

Tujuan lain sistem pembakaan ialah untuk kami bekalkan anak-anak tetasan kepada sebilangan besar penternak-penternak di sekitar Terengganu. Kerana kami sistem pembakaan "FLOCK" kami bukanlah nesar sangat, sekitar 200 ekor ibu ayam sahaja. Lagi pun seperti yang dikatakan tadi, ianya lebih bermatlamatkan untuk pengujian inkubator keluaran kami. Sudah tentu, dengan adanya sistem penetasan ini nanti, kami amat berharap untuk memperbaiki lagi mesin-mesin penetasan keluaran kami dengan mempertingkatkan lagi kualiti.

Moga-moga nanti akan adalah kawan-kawan serta teman-teman yang bermurah hati untuk memberi tunjuk-ajar kaedah-kaedah penternakan baka secara serius. Maklumlah, selama ini hanyalah sekadar melihat saja.


Seminar Untuk OKU

Semalam, tanggal 8/11/2009, saya telah dijemput untuk memberi ceramah pendek aka seminar ringkas berkaitan dengan peluang-peluang penternakan yang boleh diterokai oleh warga OKU khususnya berkaitan dengan penetasan telor unggas. Seminar tersebut telah dianjurkan oleh Persatuan OKU Negari Melaka, bertempat di Pejabat Rasmi mereka di Masjid Tanah, Melaka. Seminar yang bermula kira-kira pukul 9 pagi itu tamat sekitar jam 12 tengahari.


Seminar yang dikhususkan kepada warga OKU itu telah dihadiri oleh ramai OKU sendiri termasuk penjaga-penjaga kepada OKU yang berdaftar dengan persatuan. Di samping itu, terdapat juga peserta dari kalangan orang-orang biasa yang dijemput oleh Persatuan OKU. Juga terdapat wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut hadir.

Seperti yang dirancang, tujuan seminar pendek ini ialah untuk memberi pendedahan kepada golongan OKU khasnya bahawa di dalam bidang penternakan ini ada sesuatu yang dapat dikongsikan kepada mereka yang betul-betul mempunyai kecacatan FIZIKAL yang mana kehidupan mereka ini terlalu bergantung harap kepada para penjaga mereka samada ibubapa, kakak, abang atau saudara mara mereka. Namun, kesemua itu bukanlah menjadi satu halangan untuk membolehkan OKU itu untuk turut serta dalam bidang penternakan secara langsung.
Apa yang saya diminta untuk memperjelaskan ialah di manakah fungsi OKU ini dapat diserlahkan. Saya telah memberi pendedahan berkaitan dengan proses penternakan unggas secara sepintas lalu bermula dari proses pemeliharaan baka (pembiakan baka), proses penetasan, proses nurseri (perindukan) sehinggalah pemeliharaan ayam.

Setelah itu saya memberi penekanan terhadap peluang terbaik untuk mereka menerusi program Penetasan Telor Unggas yang mempunyai ciri-ciri fungsi automatik sepenuhnya di mana, warga OKU ini hanya memerlukan sedikit sangat usaha untuk menjayakan program ini. Menceritakan ini ialah melalui pendekatan mirip kepada "contract farming" yang bakal dipelopori dan diseliakan oleh Persatuan OKU itu sendiri.

Dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Persatuan OKU ini, yang mana persatuan ini mempunyai pertalian dan jaringan yang cukup mesra dengan JKM, adalah menjadi harapan keseluruhan warga persatuan OKU supaya JKM khususnya dapat mengenal-pasti akan kesinambungan dari program yang rata-rata diminati oleh golongan OKU yang terbabit. Hatta, sebelum program seminar ringkas ini diadakan, Persatuan OKU ini telah pun memulakan langkah bijak mereka dengan membuat survey dan diikuti dengan pengesahan kehadiran ramai sekali warga OKU pada seminar tersebut.

Adalah menjadi harapan yang amat besar, golongan OKU selepas ini (bagi mereka-mereka yang berdaftar dengan persatuan) agar pihak berwajib seperti JKM dan yang lain-lainnya menilai seterusnya tampil memberi bantuan khusus untuk menjayakan program ini. Mereka merasakan seolah-olah mereka tidak hanya perlu diberi "umpan" semata-mata malah lebih daripada itu golongan OKU ini memerlukan "pancing" sekali dengan lubuk-lubuk yang bakal disediakan oleh pihak persatuan.

Persatuan juga, di akhir seminar semalam jelas mengharapkan, seminar semalam hanyalah satu langkah permulaan yang mana mereka akan menganjurkan lebih banyak siri-siri penerangan yang berbentuk seminar pendek ini kepada seluruh wawga OKU Melaka. Mereka juga menwar-warkan agar lebih ramai lagi golongan OKU mendaftarkan diri dengan Persatuan dari semasa ke semasa. Peserta juga telah dijamukan dengan sedikit jamuan ringan bagi memeriahkan suasana dan majlis berjalan begitu lancar dan mendapat kerjasama yang cukup baik dari peserta dengan respon-respon dan soal-balas dari peserta.





Panduan Untuk Penternak Ayam Kampung Secara Kecilan

PENDAHULUAN


Aktiviti penternakan ayam kampong telah ujud zaman berzaman sejak datuk nenek kita dahulu. Generasi pertama ayam atau nama saintifiknya Gallus domesticus adalah dari keturunan ayam hutan merah (Gallus gallus) . Dengan kemasukan pedagang-pedagang dari Negeri China lahirlah generasi kedua ayam kampong iaitu kacukan diantara ayam kampong generasi pertama dengan ayam kampong Canton dari Negeri China

Generasi ketiga ayam kampong adalah terhasil dari kacukan beberapa baka asli dari luar negeri yang dibawa oleh penjajah Eropah dengan generasi kedua ayam kampong. Dengan ketiadaan sistem kacukan yang dirancang dan terkawal maka terhasillah berbagai-bagai ayam kampong yang dapat kita lihat hari ini . Adalah sukar untuk menghuraikan jenis-jenis ayam kampong dari sifat-sifat fizikalnya. Perbezaan ketara adalah dari saiz badan juga menjadikan ayam kampong mempunyai ciri-ciri keunikannya tersendiri. Maka lahirlah berbagai gelaran ayam kampong seperti Ayam Botak, Ayam Bulu Balik, Ayam Selasih, Ayam Janggut, Ayam Laga atau Sabung, Ayam Togel, ayam Katik atau Ayam Jepun dan bermacam-macam lagi gelaran mengikut tempat dan loghat.




TUJUAN MEMELIHARA AYAM KAMPONG

Adalah untuk menggalakkan penternak kecil memelihara ayam kampong. melalui aktiviti ini negara dapat mengimport bahan-bahan makanan ayam disamping meningkatkan pengeluaran bahan-bahan makanan ayam tempatan. Disamping itu;
· Telur dan daging untuk makanan keluarga
· Telur boleh ditetaskan untuk pembiakan
· Andai berlebihan boleh dijual untuk menambah pendapatan.

KEISTIMEWAAN AYAM KAMPONG

· Boleh dibiakkan sepanjang tahun
· Boleh dipelihara secara bebas pada waktu siang
· Sisa makanan rumah boleh diberikan tanpa had
· Ibu dapat menetaskan telur dengan sendirinya.
· Ibu boleh mengawal anak-anaknya dari cuaca sejuk dan gangguan musuh.


SISTEM PERUMAHAN

Reban diperlukan untuk melindungi daripada cuaca buruk dan gangguan musuh. Boleh dibuat menggunakan ” Sistem Lantai Atas ” atau ” Sistem Lantai Bawah .1 ekor ayam memerlukan 1 kaki persegi. Jika 20 ekor ayam, keluasan lantai ialah 20 ekor kaki persegi.
Reban seluas 4 kaki x 5 kaki adalah memadai.
Di antara bahan-bahan yang sering digunakan ialah kayu hutan, kayu sayung, buluh , dawai mata punai atau pukat. Ayam kampong juga hanya menggunakan peralatan makan/minum yang murah.








PEMAKANAN AYAM
Terdapat dua (2) jenis makanan iaitu:

Makanan komersil/dagangan
· Makanan Ayam Permulaan (Layer Starter Mash)
· Makanan Ayam Membesar (Layer Grower Mash/Pellet)
· Makanan Ayam Penghabisan (Layer Finisher Mash/Pellet)

Makanan Campuran atau Sisa Makanan
· Lebihan nasi, hampas kelapa, isi kelapa
· Dedak, beras hancur, padi, ubi kayu/keledek
· Ikan baja dan lain-lain

PENGURUSAN

Pengurusan anak (1 hari - 4 minggu)
· Pastikan anak ayam mendapatkan suntikan pencegahan penyakit
· Beri makanan bermutu dan minuman secukupnya
· Pastikan ada lampu untuk memberi kepanasan sehingga umur 2 minggu
· Peringkat membesar hingga bertelur (4 minggu - 22 minggu)
· Pastikan anak ayam mendapat suntikan pencegahan penyakit
· Boleh dilepaskan pada siang hari
· Makanan campuran atau lebihan sisa makan boleh diberi
· Sediakan sarang bertelur
· Elakkan mengganggu ibu yang sedang mengeram

PEMBIAKAN


Kaedah yang terbaik ialah melibatkan perkahwinan secara tabie/asli1 ekor ayam jantan untuk 10 ekor ayam betina.
Dipelihara di dalam reban dengan penyediaan sarang bertelurTempat yang sunyi,kering dan bebas dari gangguanKebiasaan boleh mengeram sehingga 15 biji telur dalam jangkamasa 21 hari

KAWALAN DAN PENCEGAHAN PENYAKIT


Penyakit ayam boleh disebabkan oleh:
· Warisan
· Pemakanan
· Pengurusan
· Persekitaran
· Jangkitan

Langkah-langkah Pencegahan Penyakit
· Reban sentiasa bersih
· Anak ayam bebas dari penyakit
· Jauh dari ternakan dan haiwan lain
· Pelawat perlu dikawal
· Pencegahan adalah lebih baik dari rawatan
· Semua ayam perlu diberi suntikan pencegahan penyakit
· Ayam yang mati hendaklah ditanam atau dibakar untuk mengelakkan jangkitan kepada yang sihat.

Program Pencegahan penyakit
· Umur 1 hari - Sampar Ayam “F” (Biasanya telah dibuat ditempat penetasan)
· Umur 3 - 4 minggu - Cacar Puru ayam dan Sampar “F”
· Umur 6 - 8 minggu - Sampar ” S “Tanda-tanda Am Ayam Berpenyakit
· Kurang nafsu makan
· Monyok dan tidak aktif
· Pucat, bersin, keluar hingus dari hidung
· Muka bengkak
· Berak cair atau berdarah
· Gangguan saraf seperti sayap lemah, kaki lemah, kepala berputar dan sebagainya.

JENIS-JENIS PENYAKIT AYAM

· Sampar ayam (ND)
· Penyakit Gumboro (IBD)
· Puru
· Salmonellosis
· Pasteurellosis
· Lain-lain



Sekiranya ayam-ayam anda menunjukkan tanda-tanda penyakit, sila dapatkan nasihat daripada pegawai di Jabatan Perkhidmatan Haiwan yang berdekatan.