Seminar Untuk OKU

Semalam, tanggal 8/11/2009, saya telah dijemput untuk memberi ceramah pendek aka seminar ringkas berkaitan dengan peluang-peluang penternakan yang boleh diterokai oleh warga OKU khususnya berkaitan dengan penetasan telor unggas. Seminar tersebut telah dianjurkan oleh Persatuan OKU Negari Melaka, bertempat di Pejabat Rasmi mereka di Masjid Tanah, Melaka. Seminar yang bermula kira-kira pukul 9 pagi itu tamat sekitar jam 12 tengahari.


Seminar yang dikhususkan kepada warga OKU itu telah dihadiri oleh ramai OKU sendiri termasuk penjaga-penjaga kepada OKU yang berdaftar dengan persatuan. Di samping itu, terdapat juga peserta dari kalangan orang-orang biasa yang dijemput oleh Persatuan OKU. Juga terdapat wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut hadir.

Seperti yang dirancang, tujuan seminar pendek ini ialah untuk memberi pendedahan kepada golongan OKU khasnya bahawa di dalam bidang penternakan ini ada sesuatu yang dapat dikongsikan kepada mereka yang betul-betul mempunyai kecacatan FIZIKAL yang mana kehidupan mereka ini terlalu bergantung harap kepada para penjaga mereka samada ibubapa, kakak, abang atau saudara mara mereka. Namun, kesemua itu bukanlah menjadi satu halangan untuk membolehkan OKU itu untuk turut serta dalam bidang penternakan secara langsung.
Apa yang saya diminta untuk memperjelaskan ialah di manakah fungsi OKU ini dapat diserlahkan. Saya telah memberi pendedahan berkaitan dengan proses penternakan unggas secara sepintas lalu bermula dari proses pemeliharaan baka (pembiakan baka), proses penetasan, proses nurseri (perindukan) sehinggalah pemeliharaan ayam.

Setelah itu saya memberi penekanan terhadap peluang terbaik untuk mereka menerusi program Penetasan Telor Unggas yang mempunyai ciri-ciri fungsi automatik sepenuhnya di mana, warga OKU ini hanya memerlukan sedikit sangat usaha untuk menjayakan program ini. Menceritakan ini ialah melalui pendekatan mirip kepada "contract farming" yang bakal dipelopori dan diseliakan oleh Persatuan OKU itu sendiri.

Dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Persatuan OKU ini, yang mana persatuan ini mempunyai pertalian dan jaringan yang cukup mesra dengan JKM, adalah menjadi harapan keseluruhan warga persatuan OKU supaya JKM khususnya dapat mengenal-pasti akan kesinambungan dari program yang rata-rata diminati oleh golongan OKU yang terbabit. Hatta, sebelum program seminar ringkas ini diadakan, Persatuan OKU ini telah pun memulakan langkah bijak mereka dengan membuat survey dan diikuti dengan pengesahan kehadiran ramai sekali warga OKU pada seminar tersebut.

Adalah menjadi harapan yang amat besar, golongan OKU selepas ini (bagi mereka-mereka yang berdaftar dengan persatuan) agar pihak berwajib seperti JKM dan yang lain-lainnya menilai seterusnya tampil memberi bantuan khusus untuk menjayakan program ini. Mereka merasakan seolah-olah mereka tidak hanya perlu diberi "umpan" semata-mata malah lebih daripada itu golongan OKU ini memerlukan "pancing" sekali dengan lubuk-lubuk yang bakal disediakan oleh pihak persatuan.

Persatuan juga, di akhir seminar semalam jelas mengharapkan, seminar semalam hanyalah satu langkah permulaan yang mana mereka akan menganjurkan lebih banyak siri-siri penerangan yang berbentuk seminar pendek ini kepada seluruh wawga OKU Melaka. Mereka juga menwar-warkan agar lebih ramai lagi golongan OKU mendaftarkan diri dengan Persatuan dari semasa ke semasa. Peserta juga telah dijamukan dengan sedikit jamuan ringan bagi memeriahkan suasana dan majlis berjalan begitu lancar dan mendapat kerjasama yang cukup baik dari peserta dengan respon-respon dan soal-balas dari peserta.





1 comments:

Post a Comment