Projek Tahun Baru 2010

Ahlan Wasahlan. Tahun 2010.

Yup!, saya menunggu kedatangan tahun baru ini dengan penuh semangat dan kesungguhan. Berbeza dengan puluhan tahun yang lampau, tahun 2010 akan menjadi salah satu antara tahun-tahun yang istimewa bagi saya secara peribadinya. Belum pernah saya memasang azam sedemikian rupa malahan boleh dikatakan tiada pun azam yang secara bertulis sama ada di dalam buku mahupun dalam mana-mana diari. Akan tetapi, kali ini sungguh berbeza. Azam telah ditanam semenjak beberapa bulan yang lalu untuk saya jelmakan dalam bentuk yang fizikal yang pastinya tahun ini (seawal tahun) akan saya pastikan saya akan kembali ke negeri asal!

Akan saya pastikan kepulangan menjadi realiti. Namun saya juga akan pastikan yang kepulangan ke kampung bukanlah hanya sekadar mengharap belas ehsan sesiapa. Pulang ke kampung juga berbekalkan sedikit teknologi, pengalaman dan juga perancangan yang agak rapi. Mungkin sedikit berbeza dengan beberapa kenalan saya sebelum ini, mereka pulang ke kampung hanya semata-mata kerana kehilangan punca pendapatan atau dengan kata lainnya, mereka buntu dalam mencari jalan keluar disebabkan kehilangan perkerjaan atau kesempitan hidup di bandar-bandar besar yang penuh dengan pelbagai rintangan.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan, yang sebab-sebab sedemikian tidak ada pada diri saya. Saya masih lagi mampu mendapatkan rezeki yang halal di kala sebahagian besar kenalan saya menghadapi ujian getir dari Allah s.w.t.  Syukur Alhamdulillah Allah masih memurahkan rezeki.

Saya akan tetap teruskan usaha untuk menjadi pembekal dan pembuat Inkubator seperti mana yang pernah saya "CHART"kan di dalam profil blog ini. Bagi saya, jarak sempadan bukanlah halangan mutlak untuk membolehkan saya kembali bermustautin di kampung halaman. Memang betul dari segi logistik ianya akan melibatkan pengurusan kos yang agak mahal terutama pengangkutan dan pengurusan masa sebahagian daripadanya. Akan tetapi ianya akan dikurangkan dengan agak selesa berbanding dengan kos sewaan, tenaga pekerja yang agak mudah dan murah serta harga sebahagian dari bahan-bahan pembuatan adalah jauh lebih murah. Kesemuanya ini, sekiranya dicampur-campur dan ditolak, sudah tentu akan dapat mengimbangi kos pengangkutan, seterusnya menjadikan Inkubator Niche masih lagi relevan kepada penternak-penternak.



Keduanya, selain membuat inkubator keluaran sendiri, kami juga telah memulakan program pemasaran barangan keluaran Brinsea yang memang mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan penternak di Malaysia. Syukur Alhamdulillah, belum pun sempat sebulan dilancarkan, telah terdapat ramai pelanggan yang membeli pelbagai produk keluaran Brinsea. Ini merupakan petanda yang bagus. Sementara itu, kedai atau premis perniagaan telah pun dikenal-pasti yang akan memuatkan sebahagian besar pelbagai produk yang berkaitan dengan keperluan penternakan.

Yang ketiganya, kami juga telah berjinak-jinak dengan sistem pembakaan Ayam Kampung dan juga sistem penetasan dan perindukan. Inilah antara perniagaan sampingan (buat masa sekarang) yang pastinya berkait rapat dengan pengujian secara "live" setiap daripada inkubator keluaran kami terutamanya dan juga dari Brinsea. Kesudahannya, kawasan telah pun dikenal-pasti dan reban adalah dalam proses pembinaan. Sebahagian dari baka-baka juga telah diperolehi secara berdeket-deket.

Tujuan lain sistem pembakaan ialah untuk kami bekalkan anak-anak tetasan kepada sebilangan besar penternak-penternak di sekitar Terengganu. Kerana kami sistem pembakaan "FLOCK" kami bukanlah nesar sangat, sekitar 200 ekor ibu ayam sahaja. Lagi pun seperti yang dikatakan tadi, ianya lebih bermatlamatkan untuk pengujian inkubator keluaran kami. Sudah tentu, dengan adanya sistem penetasan ini nanti, kami amat berharap untuk memperbaiki lagi mesin-mesin penetasan keluaran kami dengan mempertingkatkan lagi kualiti.

Moga-moga nanti akan adalah kawan-kawan serta teman-teman yang bermurah hati untuk memberi tunjuk-ajar kaedah-kaedah penternakan baka secara serius. Maklumlah, selama ini hanyalah sekadar melihat saja.


1 comments:

Post a Comment