Musim Percutian & Kematian.....
Asssalamualaikum kepada semua pengunjung blog medanusahawan yang beragama Isalm dan yang lainnya selamat datang saya ucapkan.
>Hari ini Ahad, 20hb Jun 2010, merupakan hari terakhir cuti sekolah semester pertama. Setelah hampir 2 minggu genap, kesemua famili saya telah bercuti dan mengambil kesempatan tinggal bersama-sama di premis yang disewa sebagai kedai/opis dan juga tempat tinggal. Tidak luas, tetapi sekadar "boleh tinggal" bagi menampung seramai 7 orang dalam satu-satu masa. Apa pun, syukur yang tak terhingga kerana percutian mereka kali ini memberikan satu kelaianan berbanding dengan yang sebelum daripada ini.
Rata-rata anak-anak cukup seronok dengan seuasana serba baru dan berbeza. Kalau di Puchong saya sekadar membuat/memasang inkubator, tetapi di Kuala Terengganu, saya tambah satu lagi bidang iaitu penetasan anak ayam. Inilah yang membuatkan anak-anak rasa tidak "sunyi" kerana saban hari lagi setelah selesai solat subuh, mereka semua berkerumun berama-ramai di depan inkubator dan juga kotak perindukan melihat gelagat anak-anak ayam. Suka betul mereka dengan anak-anak ayam tersebut.
Hatta, sampai tak terasa nak balik ke Kuala Lumpur pun kerana terlalu seronok dengan melihat anak-anak ayam. Akan tetapi, tugasan sebagai pelajar belum lagi habis. Anak-anak tetap pulang ke Kuala Lumpur. Di dalam kesempatan ini juga saya menjadi pemandu mereka untuk menghantar mereka pulang ke Kuala Lumpur. Jelas sekali kepulangan ke Puchong bukan sekadar untuk menghantar mereka pulang akan tetapi saya juga mengambil kesempatan untuk menghantar 1 unit mini inkubator model MI-101S kepada seorang penternak angsa di Paya Jaras Selangor.
Saya bertolak pada hari Jumaat dan dalam rasa berat hari meninggalkan anak-anak ayam yang hampir kesemuanya 150 ekor yang telahpun diletakkan di dalam kotak perindukan yang berbeza. Umur anak ayam ketika itu dah ada yang mencecah 4 hari. Saya terpaksa menggunakan "khidmat" pekerja saya untuk menjaga "kebajikan" anak-anak ayam. Dalam kekhuatiran itu, saya terpaksa tinggalkan juga. Sudah berulang kali memberi tahu perkara yang sama, saya cuma mengharapkan mereka melakukan seperti yang diarahkan.
Itulah namanya pekerja. Ianya berbeza dengan kita sebagai tuan punya bisnes. Bukan mereka tak lakukan kerja, akan tetapi kesungguhan dan pengalaman dalam mengendalikan sesuatu. Bukanlah hendak mengatakan saya ini cerewet dan "perfect", jauh sekali. Cuma sekadar perkongsian sahaja. Sebagai operator bisnes yang terlalu kecil saiznya, saya mengambil kira kesemua aspek dalam memastikan "viability". Namun dalam sedar tak sedar terlalu banyak elemen yang dinafikan dalam membuat sesuatu tindakan.
Sepanjang 2 hari sahaja, kematian anak ayam meningkat jauh dari sangkaan saya. Tak tau di mana silapnya, namun setelah ditanya, kesemuanya di lakukan mengikut apa yang telah diarahkan kecualilah 1 sahaja. Pekerja ini melonggokkan anak-anak ayam dari inkubator ke dalam hanya satu kotak perindukan sahaja sehinggakan, kotak yang mampu menampung sebanyak 45 ekor maksima, dilonggokkan sehingga mencecah 70 ekor lebih anak ayam. Dengan keluasan yang amat sempit ditambah pula dengan panas yang kurang, maka anak-anak ayam mati kerana "tertindih" katanya. Hampir kesemuanya.
Sedih juga saya mengenangkan. Bukannya apa, saya dah sediakan 5 kotak "brooder" yang mana 3 daripadanya telah pun berisi dengan kuantiti anak ayam yang telah mencukupi. Akan tetapi, kerana kealpaannya dan kurang peka kepada arahan, maka berlakulah longgokan. Dan yang paling menyedihkan ialah 3 ekor ayam serama dengan telor yang dibeli juga "mampos" kerana tertindih katanya. Walhalnya saya telah belikan kotak khusus untuk 3 ekor anak ayam serama tersebut!
Hari ni, sekejap lagi saya akan bertolak pulang ke Kuala Terengganu dengan harapan kematian anak-anak ayam dapat dikurangkan bila mana saya mengarahkan supaya tidak keluarkan anak-anak ayam dari inkubator. Sehari hampir 50 ekor ayam menetas dan kekhuatiran juga memuncak takut kalau-kalau lebih banyak lagi kematian.
Apapun, saya masih lagi mengatakan ini adalah satu ujian kecil dalam menempuh pelbagai lagi liku2 dalam meneruskan bidang yang serba baru ini. Marah sangat tidak ada, cumanya terkilan sahaja, bila mana berlaku kesilapan percaturan di dalam merancang. Maka inilah yang dikatakan belajar dari kesilapan.
Semoga ada hikmah disebalik kejadian, sekurang-kurangnya ianya mengajar saya supaya lebih "berperancangan" dan yang bagusnya lagi ialah untuk menjadikan saya sebagai orang yang tabah dalam menghadapi ujian yang sekelumit ini.
0 comments:
Post a Comment