Bidang & Peluang Terbaru

Assalamualaikum sahabat-sahabat sekelian dan juga pengunjung setia blog medanusahawan. Seperti biasa saya mendoakan, apa juga yang anda lakukan, lakukanlah kerana Allah semoga kita mendapat keberkatan.

Sudah beberapa hari saya ketinggalan untuk mengupdatekan blog ini. Bukannnya tiada isu dan tiada berita, cumanya sedikit lebih sibuk dari hari-hari yang sebelum ini. Rupanya, berhijrah memang memerlukan pengorbanan yang jitu dan hati yang cekal. Terasa terlalu sedikit ruang untuk kerja-kerja yang biasa, hatta kehidupan saya sebagai setiausaha masjid yang Ke-2 terbaik di Selangor, iaitu Masjid As-Salam Puchong Perdana, telah terlalu amat jauh saya tinggalkan, bukan sahaja tempatnya, malah tugasan juga. Terasa begitu bersalah sekali dan terasa begitu berdosa sekali kerana telah meninggalkan jemaah demi untuk mengejar keduniaan yang sementara ini.

Namun apakan daya. Dunia ini juga perlu untuk sama-sama kita mengejar akhirat dan pada asasnnya siapalah kita untuk menentukan untung nasib kita, untuk memastikan sesuatu yang diimpikan itu terlaksana mengikut kehendak kita. Begitu jugalah saya. Sayang mana pun saya pada Negeri Selangor, negeri yang banyak mencipta sejarah persendirian, namun terbukti, kehendak itu bukan berada di tangan saya. Terdampar juga saya di negeri kelahiran saya. Terengganu Darul Iman.


Namun, saya terimanya dengan penuh kerelaan, malah lebih daripada itu saya begitu amat bersyukur kerana, dengan keadaan fizikal saya yang tidak 100% fit, tidak seperti sebelum tiga tahun yang lampau, penghijarahan saya kembali ke Negeri Terengganu ini telah membuka terlalu banyak peluang-peluang yang baru. Kalau dulu, saya terlalu tidak yakin akan negeri ini boleh mencipta peluang kerja dan/atau bisnes kepada saya, kini ianya berbeza sekali. Biarpun peluang yang datang itu adalah janggal pada awalnya, namun itulah ketentuan Ilahi. Tetapi peluang ini sangat berkaitan dengan apa yang saya sedang lakukan sekarang.

Di awal penghijarahan dulu, saya begitu teruja dengan cita-cita untuk menjadi pembekal dan pengeluar terulung inkubator bersaiz mini. Kini cita-cita itu saya tambahkan satu tingkat lagi iaitu, menjadi pembekal anak-anak ayam kampung dan ori kepada penternak. Buat permulaannya, kapasiti mesin penetas otomatik yang ada mampu untuk mengeluarkan sekitar 5,000 ekor ayam untuk satu kitaran. Mempunyai beberapa buah inkubator buatan sendiri yang tetap sama dengan apa yang saya pernah bekalkan kepada penternak sebelum ini. Bezanya cuma, inkubator milik saya, saya buatkan khusus untuk menampung sekurang-kurangnya 1,800 biji telor ayam kampung ori untuk setiap buah pada bila-bila masa. Terdapat dua buah untuk saiz yang berkapasiti sedemikian. Ianya ditokok dengan beberapa buah model MI-103 dan Model MI-101S. Menjadikannya serba lengkap.

Telah lebih dari seminggu saya menghabiskan waktu sesudah Solat Subuh saya untuk berlegar-legar di setiap pasar besar dan pasar borong di sekitar Kuala Terengganu dan juga pasar-pasar minggu serta pasar-pasar harian. Tugasannya ialah untuk mendapatkan bekalan telor ayam kampung ori.

Alhamdulillah, pusing pertama telah selesai, di mana setelah "CANDLING" dijalankan, boleh dikatakan lebih 80% telor yang dibekalkan oleh peraih ada berbaka. Dalam seminggu lebih lagi, batch pertama anak ayam akan dikeluarkan untuk kira-kira 200 ekor. Telah terdapat beberapa batch yang sedang dalam proses pengeraman. Untuk setakat, ini, kuantiti yang TERRAM ialah sekitar 900 ekor.

Saya masih lagi dalam proses pencarian telor ayam kampung dan setakat indormasi yang saya dapat, untuk memperolehi telor ayam kampung sebanyak 3000 ekor sebulan tanpa melakukan pembelaan induk/baka, ianya amat realistik sekali. Masih terdapat lagi beberapa pasar besar dan juga pasar mingguan dan pasar tani yang belum sempat dikunjungi.

Dalam waktu yang sama juga, saya juga sedang menyediakan tapak untuk melebarkan pembelaan baka ayam KACUK utuk tujuan penetasan sendiri. Dimulakan dengan tanah milik sendiri sekitar 1 ekar 1/2, saya merasakan keluasan sedemikian adalah cukup untuk menampung sekitar 500 ekor baka ayam kacuk secara sistem flok. Minggu hadapan, akan dimulakan proses menambak tanah merah dan seterusnya disusuli dengan pembinaan tapak asas.

Adalah menjadi harapan saya/kami untuk sekurang-kurangnya berusaha untuk membekal anak ayam kampung dan kacuk untuk sekurang-kurangnya 10 ribu ekor sebulan. Kami tidak melihat akan masalah mesin penetasan, akan tetapi, kami lebih menjangkakan masalah kaedah penjagaan baka. Saya memang tiada asas langsung. Semoga ada yang sudi mengajarnya.

Cerita di atas adalah cerita perlebaran cabang bisnes. Sekali-kali kami tidak akan tinggalkan pembinaan dan pembekalan inkubator saiz mini, malah dari hari ke hari kami sering kali melakukan pelbagai pembaharuan dan nilai tambah kepada inkubator keluaran kami, demi untuk menjamin pelanggan sentiasa mendapat yang terbaik dan produk yang terkini.

Hatta, pembanjiran tempahan sering berlaku dan kadang-kadang pembekalan juga terpaksa saya tangguhkan.

Ikuti posting yang akan datang dengan ceita yang lebih menarik dan juga penemuan cabang bisnes yang terkini untuk kami di Niche Strategy Marketing.

0 comments:

Post a Comment