Sedikit Motivasi Dari Yang Serba Dhoif Ini

Assalamualaikum dan selamat sejahtera pengunjung blog medanusahawan sekalian. Semoga anda bahagia dalam apa jua bidang yang anda tempuhi hari ini dan hari-hari yang mendatang. Cuma kena ingat satu saja. Kalau tak pernah mengecapi erti kepayahan, manakan datang dengan mudah kesenangannya. Menjadi adatlah tu, segala kepayahan, penat dan getir adalah menjadi lumrah, terutama kepada sesiapa sahaja yang baru berjinak-jinak dalam bidang pernigaan yang Nabi Muhammad sendiri pernah bersabda bahawa 9/10 daripada rezeki itu adalah dari perlakuan pernigaan.

Sekarang ini, semua orang mengatakan pertanian itu adalah perniagaan. Maka lakukanlah dengan tekun dan ISTIQAMAH. Besabar yang lebih, InsyaALlah kejayaan pasti dijulang. Tak banyak sedikit pasti ada, ianya tidak selalu datang mendadak. Berakit-rakit kehulu bedayung-dayung (renang) ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kalau tak pecahkan ruyung manakan datang sagu (pati)nya. Ke semua perumpamaan itu walaupun hampir mati ditelan aura kemodenan, namun, datuk dan nenek moyang meninggalkan satu bingkisan yang pada saya sukar untuk hilang.

Baiklah, kita tinggalkan dahulu mukaddimah yang berjela itu. Sebenarnya itu adalah rentetan dari beberapa peristiwa yang saya sendiri dengar dengan penuh rasa keinsafan dari ramai orang yang terjebak dalam dunia perniagaan. Bukan berniat untuk bermotivasi akan tetapi rasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman apa yang patut. Sedih bercampur rimas pun ada. Manakan tidaknya, ramai yang saya kenali hampir sebahagian besarnya hampir nak kantoi. Semuanya ini hanya melakukan berdasarkan apa yang dilihat secara zahir. Melihat kejayaan seseorang yang sudah berjaya. Lantas merasa kagum dan terus menerus merasa yakin yang kejayaan juga akan memihak kepadanya.


Mereka tidak sesekali mengelamun. Mereka melaksanakannya. Namum diperingkat awalan lagi mereka telah melakukan percaturan yang silap. Sebahagian besar dari mereka ini terjebak dengan kes-kes seminar, iklan-iklan yang mengaburkan yang bersahaja menjerat ramai orang dengan menjanjikan segala macam yang mudah-mudah. Mungkin sikap kita yang pernah dikategorikan sebagai TUAN, suka sangat sesuatu yang midah-mudah. Inilah padahnya!

Memang tak salah untuk menyertai kursus jangka pendek dan seminar. Semuanya itu penting untuk dihadiri sekiranya berkemampuan. Kekadang itu memang sukar untuk mendapatkan hasil dari apa yang diceramahkan. Belum tentu penceramah yang tersohor akan memberi impak yang berkesan. Dan belum tentu juga penceramah yang tidak popular (seperti aku ler) tidak memberi sebarang manfaat langsung. Kekadang yang tidak dikenali langsung itu memberi kesan yang besar kerana selalunya mereka-mereka ini meluahkan apa yang pernah mereka lakukan sebagai pengalaman. Yang popular itu pula sebahagian besarnya melalui promosi besar-besaran. Maka nampak gah lah!

Ok. Berbalik kepada cerita pasal kegagalan. Serba serbi yang cuba berkongsi kesedihan dan kegagalan adalah dari kalang mereka yang:

  1. Yang teramat gelojoh dalam membuat  tindakan
  2. Mereka tidak berperancangan dan tiada hala tuju
  3. Melakukan kaji-selidik (kertaskerja) secara semberono sahaja
  4. Berjiwa besar tetapi malas (suka berangan-angan)
  5. Mengimpikan kejayaan yang cepat
  6. Tidak bersedia untuk menghadapi proses-proses kegagalan
  7. Gagal untuk membuat counter-check atau post-morterm
  8. Terlalu banyak projek, sehingga setiap sesuatu yang dilihat  adalah berpotensi untuk dimajukan
  9. Kurang idea
  10. Kurang modal

Tidak malu dan tidak segan, saya juga aalah sebahagian dari proses-proses yang di atas. Saya juga gelojoh dan atas dasar itu juga mungkin sehingga ke hari ini saya tidak juga berubah. Saya tidak melontar batu dan sembunyikan tangan. Saya berkata secara realiti. Namun saya ada sedikit bekalan "prinsip" dan di atas bekalan prinsip itulah saya akan cuba garapkan supaya sealiran dengan apa yang diungkapkan.

Kadang kala itu kegagalan dapat diperhalusikan lagi dengan skop atau fenomena di bawah:

  1. Kurang pengalaman kerja, tetapi ilmu yang agak mantap

  2. Usia yang kurang matang - senang untuk dipenyek-penyek

  3. Berakan-kongsikan dengan mereka yang terlalu jauh kehebatannya (Seperti pipit dengan enggang)

  4. Terlalu percayakan kepada rakan (semua rakan-kongi bertarah Haji-Haji dan dato'-dato', baik-baik semua tu)

  5. Kurang berserah kepada Ilahi dalam membuat pertimbangan (Kadang-kadang tu main belasah sahaja)

  6. Kurang membantah (takut tercampak keluar reban).

  7. TERJEBAK dengan gejala rasuah (Sebahagian besarnya bukan kehendak seseorang)
Jadi di manakah kejayaan anda pada hari ini? Apakah masalah terbesar yang menyebabkan "DeRIALMENT" atau lari dari landasan atau terbabas!

Tepuk dada tanya selera, jangan terus mencedok apa yang terhidang atau yang dihidang Walaupun yang menghidang itu adalah secantik bidadari (entah aku tidak pernah melihat macammana rupa bidadari itu). Anda perlu bijak memilih mengikut keperluan selera anda tetapi biarlah keperluan itu mencakupi segala macam yang manfaat. Ada protin, cukup, kabohidrat yang memberi tenaga, ada vitamin, ada lemak, ada pedas, ada manis, cukup rasa masin, tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk dan macam-macam lagi.

Adunan itu akan disebatikan di dalam perut anda secara yang terbaik, tidak akan menyebabkan anda sakit perut atau termuntah.

Semoga memberi sedikit kesedaran kepada mereka-mereka yang belum meraih kejayaan.


Selamat majujaya dan jumpa anda dipuncak kejayaan.

8:30 pagi Isnin 19hb April, 2010

1 comments:

AYAM KG ANGAHZUL said...

Alhamdulillah....
Selain dari menjual inkubator boleh gak Abg Din mengingati saya dan saya harap juga untuk penternak2 lain.Saya setuju dgn pandangan/sebab org melayu terutamanya gagal dalam perniagaan.
Kita masih baru dan mentah dalam bidang ekonomi belum mampu untu menyaingi kaum cina yg dah bertahun memegang ekonomi kita bermula dari penjajahan Inggeris lagi.
Tapi itu bukan satu alasan untuk kita tak bersatu dan meninggalkan pesanan Rasul.9/10 hasil bumi dtgnye dari perniagaan.
GAGAL!!!Siapa tak takut dgn ayat tu. Tapi sebenarnye kita gak yg tempah.Mungkin juga ujian dari Allah. Manusia kalau terlalu mengejar apa yg akan ditinggalkan mesti akhirnye dia gagal.Alamak melebih-lebih lak saya ni. Okey la, terima kasih atas motivasi Abg Din tu.

Post a Comment