Sunday, April 25, 2010

Sembang-Sembang Ternakan Ayam Kampung Pahang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pengunjung semua. Semoga kalian di luar sana masih lagi segar dalam membicarakan pehihal penternakan, terumanya ternakan unggas. Sedar atau tidak, saya ada sedikit terperasan bahawa sejak kebelakangan ini, ramai dari kalangan penternak-penternak yang mempunyai blog sudah mula menampakkan kurang kecenderungan untuk berkarya. Tidak seperti di awal-awal dulu. Sebahagian besar saya perhatikan, usia blog masing-masing kurang dari setahun. Namun sudah mula menampakkan tenggelam timbulnya.

Saya masih lagi berprasangka baik (Usnuzon kata bahasa Arab). Saya menjangkakan kesemua blogger-bloger yang berasaskan penternakan ini sebenarnya terlalu sibuk di luar sana menguruskan perihal perniagaan mereka. Bisnes sudah semakin maju. Pulangan sudah menampakkan keuntungan. Alhamdulillah. Syukran! Semoga Allah menambah-nambahkan lagi rezeki kita yang halal disamping menambahkan juga ketaqwaan kita kepadaNya. InsyaAllah! Saya di sini sentiasa mendoakan kejayaan juga untuk kawan-kawan semua.

Berbalik kepada tajuk posting di atas.

Semalam 24hb April 2010, bertempat di Kuantan, saya sempat menguruskan pertemuan dengan beberapa rakan aka kenalan yang baru-baru semuanya. Mereka itu ialah En Farizul, En Tarmizi dan En Azlan yang merupakan seorang usahawan yang dah agak maju dalam bidang penternakan ayam kampung asli dan kacuk. Beliau juga pernah dan selalu menternak ayam kampung sehingga 15,000 ekor. Saya pernah menceritakan perihal beliau satu ketika dahulu.

Di dalam pertemuan tersebut, kami berbincang beberapa strategi untuk mengetengahkan sebahagian besar penternak-penternak khususnya penternak ayam kampung di Pahang sahaja. Kami membincang beberapa kaedah, Kami bukanlah bertunjangkan kepada En Azlan sahaja, namun sebagai seorang yang sudah agak berjaya, kami merasakan beliau wajar untuk bersama-sama membimbing seramai mungkin penternak-penternak yang berada di Pahang. Kami mudahkan dan pendekkan rumusan perbincangan yang tidak formal tersebut seperti berikut:


  1. Mewujudkan jaring penternak dari pelbagai kategori dan saiz.

  2. Membuat seminar ringkas berkaitan dengan kefahaman TERAS supaya pengertian dari sudut bisnes ayam kampung betul-betul difahami terlebih dahulu sebelum menceburkan diri dalam penternakan ini. Mengikut En Azlan, terlalu banyak salah tanggapan atau pengertian berkaitan dengan ayam kampung, baik dari segi teknikal, nilai bisnes, kaedah pemasaran, kaedah pembelaan dan macam-macam kesilapan lagi.

  3. Mengenal pasti, memilih dan seterusnya mendidik mereka-mereka tersebut untuk menjadi pembekal dalam bidang yang dikenal-pasti seperti pembekal telor, pembekal anak ayam (penetas), pembekal ayam hidup dan pembekal ayam proses mengikut kesesuaian.

  4. Cuba untuk memberi penekanan supaya setiap keluaran ada permintaannya dan sebaliknya setiap permintaan mesti ada pembekalnya.
Ini kerana, di dalam perbincangan yang tidak formal tersebut, pelbagai contoh dan teladan telah diberikan oleh semua pihak. Antaranya adalah ketidak-upayaan untuk membekal mengikut permintaan. Ada sebahagiannya, membekal dengan membuat penghantaran bekalan yang salah barangan. Ada sebahagiannya adalah terlalu mempunyai stok yang berlebihan sehingga gagal langsung untuk menjualnya. Ada sebahagiannya pula terlalu kedekut untuk menyalurkan maklumat untuk perkongsian pembelian dan juga penjualan stock. Dan macam-macam lagi kesilapan yang sepatutnya boleh diatasi sekiranya jaringan dibentuk.

Kami juga sepakat mengatakan, sekiranya sesuatu jaringan itu dibentuk, biarlah ianya berlandaskan sesuatu yang tidak berdaftar atau kata lainnya tidak formal, seperti kelab. Kita tidak perlu membuat laporan kepada sesiapa pun dan sudah tentu bukan sesuatu kelab yang bermotifkan keuntungan.

Kami merasa yakin, sekiranya usaha ini diteruskan, ramai kalangan penternak akan memanfaatkan jaringan ini. Namun, kata En Azlan lagi, sesiapa sahaja yang ingin menganggotai grup ini kelak, mesti melepasi satu halangan iaitu "brain-storming" mengikut cara beliau. Kerana katanya, penternak-penternak Melayu tertamanya, adalah terlalu manja dan kurang jatidiri.

Kepada yang berminat dan kepada yang berasal dan/atau menternak di Negeri Pahang, bolehlah menghantar e-mel kepada saya di ptistrader@gmail.com untuk komunikasi seterusnya.

Semoga ada manfaatnya. InsyaAllah 

COMMENTS :

Don't Spam Here

0 comments to “Sembang-Sembang Ternakan Ayam Kampung Pahang”

Post a Comment

 

Incubation Specialist. All Rights Reserved. Powered by Your Niche Incubator Near You