Rintihan Sebagai Seorang Penternak

Setelah sekian lama (tapi tak lah lama sangat kot), dan setelah sekian banyak inkubator dikeluarkan dan setelah sekian banyak tempat saya kunjungi, di dalam usaha untuk menghantar inkubator ke destinasi penerima mahupun dalam usaha untuk mengenali lebih dekat penternak-penternak unggas, banyak juga peristiwa yang dapat dikongsikan bersama-sama mereka. Malah kalau hendak dikirakan keselesaan dan kebahagian kehidupan sebagai penterenak unggas, saya merasakan hampir kesemua mereka ini belum lagi mengecapi erti kemanisan berternak. Rata-rata mereka ini adalah bukan sahaja golongan bumiputra, malah mereka semua ini adalah sebangsa dengan ku, anak Malaysia berketurunan Melayu JATI. Dalam tawa mereka aku tergambar akan kepayahan mereka mengharungi pelbagai renyah dan kerenah. Pelbagai persoalan yang bermain di dalam kotak pemikiran mereka. Rata-rata berkisar ke arah mencari sesuatu yang lebih dinamik dalam mengejar persaingan yang hebat dalam segenap penjuru.

Baik dari segi duitnya, baik dari segi teknologinya malah persoalan birokrasi dengan jabatan-jabatan tertentu merupakan rutin yang terpaksa diharungi. Mereka semua pasti, pasaran untuk ternakan unggas di Malaysia ini cukup besar dan mereka tidak perlu khuatiri. Itu adalah sesuatu yang pasti bagi mereka. Tiada kerisauan buat mereka.

Namun, itu bukanlah yang menjadi rungutan mereka. Ada hal lain yang sangat-sangat menjadi halangan kepada mereka ini, antaranya ialah:

  1. Kekangan modal untuk terus bersaing dengan penternnak-penternak bangsa lain yang berskala besar. Kepayahan untuk mendapatkan bantuan kewangan amat terasa walaupun penternak terbabit mempunyai daya maju yang berwibawa. Penolakan kertas kerja/permohonan tanpa sebab adalah merupakan sesuatu yang amat dikesali.
  2. Penipuan secara tidak berhemah dengan pembekal-pembekal anak ayam terutamanya anak ayam kampung dan anak ayam kacuk. Kejadian ini sering dikaitkan dengan masalah pembakaan yang tidak tersusun dan yang pastinya merupakan kerja orang tengah yang tidak pernah mengetahui asal-usul anak tetasan (DOD/DOC dsb)
  3. Ketidak-cukupan bekalan anak-anak unggas yang mengakibatkan pemeliharaan unggas terbantut (terutamanya anak-anak puyuh dan itik). Terdapat dalam banyak kes, pembekal mempunyai bekalan yang terhad dan dalam masa yang sama mereka cuba dan telah mengambil tempahan (order) dari pembeli-pembeli walhal mereka sendiri belum pasti akan kesahihan kuantiti yang bakal diperolehi
  4. Beberapa kes kerenah birokrasi pihak berwajib dalam menyalurkan bantuan kepada penternak berkaitan dengan penyelesaian penyakit hawar dan penyakit-penyakit pelik. Kekadang jabatan veterina sendiri mengambil sikap sambil-lewa di atas kelemahan mereka yang tidak dapat mengenal pasti akan punca dan kaedah penyelesaian.

Terdapat beberapa lagi permasalahan yang ditimbulkan oleh penternak-penternak ini.

Semalam, saya sempat melawat seorang penternak yang sudah pun berusia 63 tahun dan mempunyai anak seramai 14 orang hasil perkahwinan dengan hanya seorang isteri. Penternak ini telah mula menceburkan diri dalam bidang penternakan secara komersial semenjak setengah tahun yang lalu. Seronoknya amat jelas sekali sekiranya diiambau berdasarkan keupayaannya menghasilkan belaan yang begitu menjadi dengan kadar kematian unggas yang amat sedikit. Bemula hanya dengan beberapa ekor ayam kampung, pengusaha yang mempunyai tanah melebihi 3 ekar ini sudahpun mempunyai lebih dari 200 ekor ayam kampung. Ayam-ayam itu cukup segar dan telah mula mengeluarkan telor hampir 30 biji sehari.

Dalam waktu yang sama, beliau telah menambah koleksi belaan iti air yang beliau beli anak tetas dari Thailand. Sekarang, sebahagian besar itik tersebut sudah pun menghasilkan telor.

Maka, di dalam situasi yang sama, penternak ini telah menghadapi masalah untuk menetaskan anak untuk tujuan pembiakan. Kekurangan ilmu berkaitan dengan perindukan dan penetasan, ini telah menokokkan keresahan kepada penternak terbabit. Lantaran itu, penternak ini telah membuat pelbagai usaha untuk mengatasi masalah yang bakal dihadapi dan antara lainnya ingin mendapatkan khidmat Penetasan Telor automatik sepenuhnya.

Maka, beliau telah "memanjat" sebuah agensi kerajaan negeri, yang berhubung-kait dengan bantuan kewangan, berbekalkan kertas kerja yang dibuat hasil bantuan anak-anak beliau. Akhirnya permohonan beliau "dikatakan" lulus dan menjadi tanggung-jawab pegawai bahagian daerah untuk menyelesaiannya. Maka di sinilah berlakunya proses birokrasi; tarik-tali berlaku. Namun penternak ini tidaklah pula menceritakan akan apa yang sebenarnya berlaku. Apa pun, yang menerima padah ialah penternak itu sendiri. Sehingga semalam, beliau telah meminta bantuan saya dengan memberi beberapa cadangan, dan InsyaAllah saya akan membantu penternak terbabit semampu yang mungkin.

Berlainan pula halnya dengan penternak yang pernah saya lawati 2 bulan yang lalu. Beliau yang pada awalnya menternak puyuh daging telah mula mengalihkan usaha mereka dengan menternak ayam kampung setelah kecewa dengan sikap pembekal anak puyuh yang tidak dapat mengotakan janjinya untuk membekal kuantiti anak puyuh yang mencukupi setelah sekian lama mereka berkecimpung. Beberapa kegagalan yang berterusan dengan kuantiti bekalan yang tidak konsisten dan kuantiti yang amat berkurangan telah menyebabkan hasilnya menurun begitu mendadak. Sekaligus merencatkan mata pencarian beliau

Atas alasan semikian, penternak ini telah memesan sendiri 1 set inkubator dari saya dengan hasrat untuk tidak mahu bergantung lagi kepada pembekal anak ayam yang lainnya seperti yang terjadi sebelumnya kepada perusahaan puyuh pedaging beliau. Alhamdulillah, saya difahamkan sekarang ini, belaiu telah berjaya membiakkan lebih dari 200 ekor ayam kampung dan terdapat masih banyak lagi ayam-ayam yang bakal tetas yang berada di dalam inkubator otomatik itu. Difahamkan juga, anak-anak tetasan itu adalah hasil dari proses peneloran dari baka yang dibiakkan sendiri.

Terdapat masih banyak lagi delima dan mehnah yang dihadapi oleh penternak lain yang boleh dikongsikan di sini, namun saya kira coretan di atas dapat dijadikan iktibar dan ukuran kepada mereka yang terlibat dan kepada mereka yang bakal menempuhi ranjau-ranjau penternakan unggas ini.

0 comments:

Post a Comment