Kaedah Aliran Air Otomatik Sepenuhnya

Mungkin posting saya yang ini berkait rapat dengan posting dibuat 2 @ 3 hari yang lepas. Posting kali ini adalah berkisar kepada kaedah untuk mengalirkan air ke dalam ruang pengeraman dan penetasan sesuatu inkubator yang betul-betul mengambil kira otomatik sepenuhnya. Aplikasi ini adalah yang terbaik jika digandingkan dengan sistem inkubator yang mempunyai fungsi otomatik (turning & juga pengawalan haba) kerana dengan adanya kaedah ini akan menjadikan sesebuah inkubator itu betul-betul berfungsi secara otomatik.


Anda tidak lagi perlu untuk menuangkan air secara manual setiap dua hari atau beberapa hari sekali tertakluk kepada saiz takungan air. Menggunakan kaedah ini, saiz takungan air hanyalah berfungsi sebagai untuk mendapatkan kelembapan yang sesuai sahaja. Bergantung kepada cara yang digunakan, kebiasaannya, untuk mendapatkan kelembapan yang tinggi, permukaan air sesuatu takung/bekas air mestilah lebih besar.

Kaedah ini menggunakan pelampung kecil yang memang direka khusus untuk tujuan seperti pengairan ke dalam takungan kecil. Walau bagaimana pun, penggunaan pelampung kecil ini bukanlah tidak boleh digunakan untuk tujuan yang lain. Tetapi dalam konteks ini, inilah tujuan asal. Aplikasi pelampung ini mengambil-kira konsep free drop/flow yang disebabkan oleh tarikan atau tekanan graviti semata-mata. Ini bermakna, sebelum air dialirkan ke dalam takungan melalui pelampung ini, ianya mesti melalui satu takung utama yang diletakkan lebih tinggi dari paras inkubator.

Takung utama yang bersaiz muatan sekitar 200 liter hanyalah diletakkan di ketinggian antara 3 - 5 kaki dari paras takungan inkubator. Selain daripada itu, takungan utama bolehlah disambungkan kepada pili atau paip air "domestik" dengan tekanan yang biasa dan pelampung mestilah dipasangkan untuk menjadikan pengaliran air dari luar sentiasa berlaku. Harus diingat bahawa aliran air dari takung utama ke dalam takung inkubator hanyalah terjadi secara titisan sahaja ("dripping" sepanjang masa dan dengan ini akan menyebabkan takung tersebut sentiasa dipenuhi oleh air. JANGAN sekali-kali menggunakan pam untuk mengalirkan air pada mana-mana bahagian kerana dikhuatiri tekanan air yang kuat akan meyebabkan pelampung kecil ini akan rosak.