Beberapa Hari Di Ladang Jutafarm


Sebelum pulang ke Puchong, saya sempat bersama-sama pengurus ladang Jutafarm yang juga bapa kepada En. Suhaimi Embong. Sebelum darpada itu, saya sempat bertemu En. Suhaimi beberapa jam sebelum beliau berlepas ke Timur Leste. Selebihnya saya banyak menghabiskan masa mengemas-kini kedua-dua mesin pengeram Model MI-203 dan juga mesin penetas MH-104 yang disiapkan beberapa hari sebelum saya bertolak ke Kelantan.


Dalam waktu-waktu yang berharga itu, saya sempat bertanya kepada pengurus Ladang Jutafarm yang juga merupakan bapa saudara saya sebenarnya. Banyak perkara yang saya tidak tahu saya bertanya kepada "orang tua" itu yang bagi saya telah menimba begitu banyak pengalaman berkaitan dengan penternakan ayam Belanda. Walaupun usia telah berada di dalam zon "pinjaman", namun beliau tetap berbakti seadanya. Dijaganya reban, bilik nurseri dan bilik penetasan dengan begitu rapi sekali.


Mengikut En. Embong, hampir keseluruhan baka-baka ayam Belanda beliau telah mula bertelur semula dengan menghasilkan telor yang ada benih setelah memberi "rehat" yang cukup sepanjang hampir 2 -3 bulan yang lepas di atas beberapa kesilapan yang sangat baik untuk dipelajari. Kini, hampir kesemua telor yang diramkan telah menetas dengan baik menggunakan inkubator yang sama (2 biji model MI-103 yang terdahulu). Mengikut beliau, kini hampir 12 -15 biji telor yang berbenih dikutip dari ladang, dan hampir setiap hari juga En. Embong dapat memindahkan anak-anak tetasan ke bilik nurseri atau "brooding boxes". Terbayang juga rasa ceria di wajah En Embong setelah mengalami sedikit trauma beberapa bulan yang lalu. Saya yang berada di ladangnya itu juga turut tumpang puas hati melihat beliau mengeluarkan anak-anak ayam dari mesin penetasnya.


Beliau dan juga En. Suhaimi memang memandang ke depan dengan baik sekali. Atas dasar itulah hanya sekarang En Suhaimi "memaksa" saya membina mesin pengeram yang bersaiz lebih besar (dah siap) untuk menampung telor-telor yang kalau mengikut pengalaman En Embong memang aka menjadi banyak sekitar 20 -30 biji sehari berbanding dengan jumlah baka-baka yang dipelihara.
Sistem Baka "Flocks"
Sebagai pembuat dan pembekal inkubator, sudah banyak tempat juga saya menjelajah dan melawat pelbagai reban dan juga ladang kepunyaan pelanggan-pelanggan yang menggunakan mesin saya. Untuk rekod, hampir 30 reban sudah saya lawati sehingga kini di seluruh Malaysia. Pelbagai "setup" mengikut ragam dan selera penternak. Agak susah untuk betul-betul saya memastikan adakah mereka mengikut teori yang dibuat di dalam kebanyakan buku. Kekadang saya pun kurang faham, kenapa dan mengapa mereka berbuat demikian walaupun penjelasan yang diberikan kepada saya agak berjela.
Namun, antara banyak-banyak reban yang saya lawati, saya merasakan reban kepunyaan Jutafaram merupakan reban yang paling bersistematik dan hampir kepada ciri-ciri sistem "FLOCKS" walaupun ianya bersaiz kecil. Ianya cukup bersih dan ditambah dengan sistem pengasingan yang dibuat antara "flock". Memang menarik sekali untuk dijadikan panduan kepada penternak-penternak.
Mengikut En. Suhaimi, beliau akan cuba sedaya-upaya untuk memastikan setiap jenis dan warna ayam Belanda akan dipisahkan mengikut warna dengan bilangan baka ayam jantan dan ayam betina yang dikadarkan mengikut kesesuaian. Tambahan daripada itu, En. Suhaimi telah "memaksa" bapanya menggunakan sedikit kaedah "IT" dengan memperkenalkan kaedah REKOD yang sistematik. Setiap flock diberikan nama dan disediakan kad rekod yang berkaitan dengan peneloran, pemakanan, kematian dan macam-macam lagi. Ini lah yang akan menambahkan kesibukan En. Embong berbanding dengan apa yang beliau pernah alami sebelum daripada ini. Mahu atau tidak, ini adalah sesuatu yang terpaksa dilalui oleh penternak.
Cara konvensional telah berlalu. Bak kata orang tua-tua dahulu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Inilah lazimnya. Sesuatu itu tidak akan datang begitu saja. Bagi En. Suhaimi, seperti yang beliau janjikan kepada TVI dahulu, beliau akan mengambil masa 3 - 5 tahun untuk melihat kejayaan yang beliau buat hari ini. Dan inilah sesungguhnya bentuk perancangan perniagaan ideal. "Return Of Investement (ROI)" atau pulangan keuntungan sesuatu perniagaan mestilah melalui satu jangkamasa yang sesuai dan munasabah.

Semoga En. Embong, Encik Suhaimi dan seterusnya Jutafarm akan terus Istiqamah dan kejayaan akan pasti menanti.

0 comments:

Post a Comment